Malaysia Berita

Kalau ada tawaran, saya sanggup belajar bahasa Jepun-Hadi Fayyadh

Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak memukau barisan kejurulatihan Roasso Kumamoto dengan aksi memberangsangkan apabila menjaringkan dua gol sepanjang bersama kelab divisyen dua (J2) Liga Jepun itu.

Penyerang berusia 18 tahun itu tidak melepaskan peluang keemasan apabila diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera serangan pasukan itu pada aksi persahabatan bertemu Shizuoka Gakuen yang berlangsung di Padang Akademi Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) baru-baru ini.

Dua jaringan Hadi sekali gus membantu pasukan yang terkenal dengan julukan ‘Kuda Merah’ itu meraih kemenangan 5-2.

Hadi ternyata berpuas hati selepas membantu pasukannya meraih kemenangan sambil menyifatkan latihan yang diterimanya sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahirannya.

“Saya belajar banyak benda baru di sini terutamanya berkaitan imbangan dalam bola sepak.

“Penggunaan padang sintetik di sini bukanlah suatu perkara yang baharu bagi saya memandangkan saya juga pernah berlatih dengan padang seperti ini di Malaysia.

“Perbezaannya cuma bola bergerak lebih laju berbanding padang biasa dan ia bagus untuk pembangunan seorang pemain.

“Saya begitu selesa dan boleh menyesuaikan diri bersama mereka. Walaupun ada sedikit masalah bahasa, namun ia bukan halangan dan saya akan mempelajari bahasa Jepun sekiranya berpeluang menyertai kelab ini nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Roasso Kumamoto, Hideaki Fujiwara turut memuji bakat dan kemahiran yang ditonjolkan oleh Hadi.

“Hadi merupakan antara pemain yang memiliki kemahiran terbaik dalam pasukan ini dan cepat menangkap apa yang jurulatih arahkan selain pantas mengawal bola.

“Dia juga mempunyai semangat berpasukan dan sentiasa merendah diri yang membuatkannya mudah diterima oleh rakan sepasukan.

“Saya percaya Hadi mampu pergi lebih jauh sebagai seorang pemain bola sepak yang baik di masa akan datang,” katanya.