Piala Malaysia Berita

De Paula mengganas di Cheras, jaringkan empat gol di ‘tempat lawan’

Selepas perlawanan pertama yang mengecewakan, nampaknya Kuala Lumpur bangkit untuk menafikan kejutan kedua Felcra FC.

Guilherme De Paula yang mendapat kritikan hebat dalam perlawanan bertemu Terengganu, kembali mendapat rentak dengan menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Felcra semalam.

Kuala Lumpur bermula garang apabila dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ke-6. Jaringan awal itu walau bagaimanapun tidak mematikan semangat Felcra yang terus mengasak kubu KL di separuh masa pertama dengan Sharbinee beberapa kali diuji.

Skrip berbeza di separuh masa kedua apabila De Paula mengganas dengan menjaringkan tiga gol dengan baki 20 minit perlawanan. De Paula menjaringkan gol pada minit ke 72, 84 dan 90. Gol Felcra dijaringkan oleh Nazrul Kamarulzaman pada minit ke-83.

Kuala Lumpur yang kehilangan Fabio Maciel selepas direhatkan ekoran persembahan buruk mereka dalam perlawanan bertemu Terengganu kini berada di tangga kedua di belakang Terengganu yang menewaskan Perak.

Chong Yee Fatt yang menggalas tugas mengendalikan Kuala Lumpur pastinya berharap kemenangan ini akan menjadi detik kebangkitan Kuala Lumpur dalam aksi Piala Malaysia. Mungkinkah Chong mampu membawa Kuala Lumpur menjulang trofi Piala Malaysia? Siapa tahu.