Malaysia Berita

KFA Berkeras Mahu Bawa Isu Ke FIFA,CAS

Drama terbaru kisah perebutan diantara pemain muda negara, Johor Darul Ta’zim dan Kedah FA, Akhyar Rashid memasuki episod terbaru. Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan berkeras mahu membawa isu ini ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Biarpun terpaksa mengeluarkan kos yang banyak.

KFA melalui Setiausaha Kehormat, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, mereka sedia melancarkan tabung khas bagi menampung kos perbelanjaan sepanjang kes ini berjalan. 

Biarpun ada beberapa laporan media yang menyiarkan bahawa KFA mempunyai peluang yang tipis sekiranya berkeras mahu membawa kes berkenaan ke pengetahuan FIFA dan CAS, KFA tetap konsisten dan yakin KFA berada di pihak yang benar.

Memetik kata-kata beliau kepada Sukan NSTP, “Saya ucapkan terima kasih kepada peguam di luar sana yang mengambil berat tentang kemelut yang melanda KFA berhubung isu Akhyar. KFA ada barisan peguam sendiri untuk membawa kes ini ke FIFA atau CAS kerana kami ada asas kukuh untuk mengheretnya dan kami tetap konsisten dengan keputusan itu,”

“Jika kosnya mahal, kami akan lancarkan tabung khas seperti Tabung Harapan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat untuk membantu meringankan beban kewangan kerajaan.

“Saya yakin itu tidak menjadi masalah, seorang seringgit pun jadilah. Syarikat pun banyak yang nak bantu sebab kerana kita mahu mendedahkan wujudnya kelompong dalam sistem bola sepak kita supaya diketahui umum dan akhirnya dapat diperbaiki.

“Soal kalah atau menang perkara kedua. Perkara paling utama ialah soal integriti dan telus dalam menguruskan hal-hal berkaitan bola sepak. Perlu diingat, bola sepak bukan milik mana-mana individu, tetapi ia adalah milik rakyat dan harus dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Isu pemain muda berusia 19 tahun negara ini mencetuskan drama apabila KFA menuduh JDT menggunakan pintu belakang untuk mendapatkan beliau. 

Terbaru, hubungan kedua-dua pasukan bertambah keruh apabila JDT bertindak mengumumkan kehadiran Akhyar sebagai pemain baharu kelab berkenaan pada Sabtu lalu.