Luar Negara

BBCU FC Menarik Diri Dari Thai League 2 Kerana Masalah Kewangan

Sebuah kelab Thai League 2, Bing Bang Chula United FC atau lebih dikenali dengan nama BBCU FC, telah menarik diri dari saingan Thai League 2 gara-gara masalah kewangan yang melanda kelab tersebut.

Berikutan keputusan menarik diri itu, BBCU FC telah dikenakan denda sebanyak 1 juta Baht / RM125,000 oleh pihak penganjur liga –  Thai League 2, serta digantung untuk beraksi dalam mana-mana liga bola sepak Thailand selama 2 tahun.

Pemain-pemain BBCU FC sekarang adalah berstatus ‘free-agent’ dan sudah ada banyak kelab-kelab Thai League yang lain telah mengambil pemain-pemain ini.

Selain itu juga, pihak pengurusan BBCU FC juga perlu membayar semula semua wang yang telah diterima sepanjang musim ini sehingga tarikh menarik diri dari saingan liga.

Tempias paling kuat diterima oleh seorang pemain Singapura yang beraksi bersama BBCU FC, Hafiz Sujad, apabila terpaksa mencari pasukan baru di Thailand atau kembali ke Singapura jika tiada tawaran dari mana-mana kelab. Beliau hanya sempat bersama pasukan itu selama lebih kurang 6 bulan sahaja.