Kolum

Pengadil perlawanan bakal digantikan dengan robot?

Persatuan Bolasepak Dunia (FIFA) dikhabarkan sedang meneroka beberapa teknologi bagi menambah baik perlawanan bola sepak.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Mirror berkata terdapat kemungkinan suatu hari nanti terdapat perubahan di mana penjaga garisan bakal ditukarkan kepada robot.

Laporan tersebut juga menyebut bahawa badan induk bola sepak dunia yang bertapak di Zurich sedang menubuhkan beberapa jabatan baharu bagi meneroka teknologi terbabit.

“FIFA sudah mempunyai jabatan yang menubuhkan penyelidikan ke dalam bidang yang tepat ini.

“Adakah mereka akan menggantikan pembantu pengadil sepenuhnya dengan kamera dan komputer? Ini boleh berlaku satu hari nanti.” Kata laporan daripada The Mirror.

Langkah yang proaktif atau sebaliknya?

Kita mungkin akan melihat teknologi ini dalam beberapa tahun yang akan datang. Tetapi pengenalan robot bakal mengundang lebih banyak kontroversi seperti yang berlaku ke atas VAR.

Sejak Video Bantuan Pengadil (VAR) diperkenalkan, terdapat beberapa kontroversi yang melanda teknologi terbabit.

Terdapat pemain yang menyatakan bahawa VAR telah mengambil emosi perlawanan disebabkan perlu menunggu untuk mendapat pengesahan jaringan. Selain itu, masa yang diambil oleh pengadil perlawanan untuk membuat keputusan juga terlalu lama.

Ketua VAR Liga Perdana, Neil Swarbrick telah mempertahankan VAR dan menafikan bahawa kawalan diambil dari pengadil semasa perlawanan serta menyatakan bahawa orang masih belum biasa dengan teknlogi ini.

Jadi, adakah ianya langkah yang wajar untuk memperkenalkan teknlogi ini ke dalam bola sepak.

Zaman sedang melangkah ke arah pemodenan di setiap perkara termasuk sukan dan ianya tidak dapat lari bahawa hakikat dunia yang kita tinggal sedang dikuasai oleh robot.

Tetapi tidak dinafikan bahawa ianya memudahkan sesuatu perkara dilakukan, seperti sukan tennis atau badminton yang menggunakan teknologi mata burung.

Dalam sukan bola sepak, jika ianya tidak dicuba, kita tidak akan pasti bagaimana sistem itu bekerja.

FIFA perlu mencari jalan bagaimana robot itu dapat membuat keputusan yang tepat dan lebih baik daripada pengadil sedia ada.

Pengenalan robot memang tidak dinafikan bakal memberi kebaikan lebih daripada keburukan, tetapi badan induk bola sepak perlu memastikan bahawa sistem itu dikawal dengan adil dan bukannya bersikap untuk memenangkan sesuatu pihak.