Kolum

JDT perlu manfaatkan aksi bertemu Nepal

Johor Darul Ta’zim bakal menyambut kehadiran skuad kebangsaan Nepal pada aksi persabahatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Ini bukanlah kali pertama pasukan milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi pilihan buat pasukan luar untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Pada 2015, kita dapat melihat kelab profesional dari Jerman, Borrusia Dortmund bertandang ke Johor Bahru bagi menguji kekuatan skuad Harimau Selatan.

Biarpun tewas besar 1-6 ke atas bekas juara Bundesliga, ia tetap menjadi satu pengalaman dan pengajaran yang berharga buat skuad JDT.

Justeru, kehadiran skuad kebangsaan Nepal ke Larkin malam ini bukan sahaja berkisar tentang perlawanan tetapi ia juga tentang penghormatan buat pasukan JDT yang telah menempah nama dalam arena bola sepak tempatan.

Ini adalah bukti bahawa segala usaha Tunku Ismail dalam menaikkan kelab JDT telah berbayar dengan beberapa pencapaian di peringkat domestik dan antarabangsa.

Apa kata Benjamin Mora?

Setelah berjaya membawa skuad JDT mengutip tiga mata penuh pada aksi Piala Malaysia menentang PKNP FC, pengendali JDT, Benjamin Mora dilihat bakal mengalih pandangan beliau kepada perlawanan persahabatan ini.

Dalam satu temubual di BH Sukan, Mora tanpa berselindung mengakui bahawa perlawanan ini bakal dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menambah baik skuad sedia ada.

Biarpun perlawanan ini bakal memperlihatkan barisan JDT I dan JDT II bergabung, ia adalah satu peluang terbaik buat pemain yang jarang diturunkan untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Ia peluang terbaik untuk pemain yang jarang diturunkan merasai aksi kompetitif dan menentang pasukan antarabangsa dan kami teruja apabila Nepal memilih JDT sebagai lawan dalam perlawanan itu dan pastinya kami akan memperagakan aksi terbaik nanti.

“Memandangkan tempoh rehat aksi Piala Malaysia agak panjang, saya akan beri ruang terutama kepada pemain simpanan untuk beraksi dan kita tahu pasukan Nepal juga dibarisi pemain berkualiti dan memiliki taktikal permainan menarik,” katanya.