Kolum

Real Madrid hanya ada lapan hari untuk tutup lima kelemahan

Dengan hanya lapan hari lagi jendela perpindahan musim panas La Liga di buka, skuad Real Madrid masih mempunyai banyak keraguan dan lima kelemahan yang menimbulkan persoalan ; Bolehkah skuad ini bersaing untuk gelaran musim ini?

Banyak perkara yang perlu diubah oleh Zinedine Zidane bagi menjadi sebuah pasukan yang mencabar gelaran serta memperbaiki persembahan mereka yang dilihat goyah musim lalu.

Antara lima kelemahan tersebut.

1. Gol

Karim Benzema dilihat mampu untuk menggalas tugas selaku penyerang utama, manakala penyerang baharu Luka Jovic dilihat masih belum bersedia untuk diturunkan,

Gareth Bale, James Rodriguez, Isco, Vinicius Junior dan Eden Hazard pula diharapkan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo.

Disebabkan itu kehadiran Neymar atau Paul Pogba mampu membantu mereka memperbaiki barisan serangan yang kelihatan masih ampuh.

2. Tempo permainan

Masalah yang terdapat di dalam skuad Zidane adalah tempo perlawanan yang perlahan dan mudah dibaca.

Biarpun membarisi bahagian tengah dengan pemain yang sama – Kroos, Casemiro, Modric dan Isco – mereka masih gagal menjelmakan permainan yang sebenar dan tempo permainan yang pantas.

Mereka dilihat semakin pudar di bahagian tengah Los Blancos dan bukanlah seperti yang mereka lakukan ketika memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara sebelum ini.

3. Pemain tengah

Terdapat debat tentang bahagian tengah Real Madrid.

Ramai pemerhati bola sepak melihat bahagian tengah Los Blancos seperti hilang keseimbangan atau sentuhan dalam membantu bahagian serangan dan pertahanan.

Dengan jendela perpindahan yang semakin hari semakin hampir untuk ditutup, Paul Pogba tetap menjadi pemain pilihan buat Real Madrid dalam menutup kelemahan bahagian tengah.

4. Pilihan dari bangku simpanan

Enam bulan dan 300 juta euro telah dihabiskan dan pengendali kelahiran Perancis dikatakan masih belum yakin dengan pilihan pemain yang berada di bangku simpanan.

Revolusi yang dikehendaki beliau tidak pernah berlaku.

Beberapa pemain baharu masih gagal menunjukkan persembahan sebenar, termasuk Luka Jovic yang dilihat masih gagal untuk menterjemahkan aksi seperti yang beliau lakukan ketika bersama Eintracht Frankfurt sebelum ini.

Bekas bintang Chelsea pula dilaporkan hadir ke kem latihan Los Blancos dengan berat badan yang melebihi dan dilanda dengan kecederaan sebelum aksi pertama La Liga.

5. Pemain baharu bertaraf bintang

Setakat ini, hanya Hazard sahaja yang mampu meyakinkan peminat bahawa mereka sedang berada di landasan yang betul.

Usaha untuk mendapatkan Pogba masih giat berlangsung dengan Zidane secara jujur menyatakan minat beliau kepada pemain tengah Manchester United.

Tambahan daripada itu, Neymar juga berada di dalam senarai Real Madrid selepas pemain itu dengan jelas mahu keluar dari Perancis – tetapi Los Blancos perlu bersaing bersama Barcelona untuk mendapatkan pemain tersebut.

Nama besar diperlukan jika Real Madrid mahu kembali menjadi pasukan yang memenangi gelaran.