Liga Super Malaysia Berita

Terengganu kehilangan Rahadiazli

Terengganu menerima berita buruk apabila penjaga golnya Rahadiazli Rahalim mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan kemungkinan besar terlepas daripada beraksi saingan Liga Super sepanjang musim ini.

Menurut laman sesawang rasmi Terengganu, pemain berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika menjalani perlawanan latihan dalaman pasukan semalam.

“Dalam satu sesi perlawanan latihan dalaman telah mengundang tragedi yang tidak diingini pasukan apabila Rahadiazli telah disahkan mengalami kecederaan ACL.

“Rahadiazli melayangkan badan dalam satu percubaan melakukan satu tempisan keluar bola cubaan rakan sepasukan tidak berjaya melakukan pendaratan dengan baik dan hentakan pada lutut telah menyebabkan beliau kesakitan dan diusung keluar padang.

“Keadaan ini sememangnya merisaukan Nafuzi Zain kerana beliau dan pasukan telah melakukan persediaan bagi perlawanan menentang PJ City esok dan sememangnya Rahadiazli disenarai sebagai penjaga gol pada perlawanan tersebut namun keadaan ini menyebabkan pemain ini terpaksa direhatkan untuk pemeriksaan lanjut.

“Selepas selesai menjalani pemeriksaan pada hari ini, beliau telah disahkan mengalami kecederaan ACL dan berita ini sangat mengejutkan pasukan dan semestinya ianya bukan sesuatu yang positif untuk diterima.”

Disebabkan itu, Terengganu dijangka menyenaraikan penjaga gol simpanan Syed Nasrulhaq atau penjaga gol Terengganu FC II, Suhaimi Husin memandangkan Sharmiza Yusof masih dalam proses pemulihan dari kecederaan.

Ia satu kehilangan besar buat Terengganu kerana Rahadiazli beraksi cemerlang dalam 5 perlawanan liga bersama Terengganu, malah beliau baru sahaja menyertai latihan bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.