Liga Super Malaysia Berita

Felda, UKM FC hantar dokumen tidak lengkap, FAM beri masa satu hari lagi

FAM mengesahkan semua pasukan Liga Malaysia sudah menghantar segala dokumen berhubung penswastaan dan pelesenan kelab lebih awal, namun beberapa dokumen yang dihantar Felda United dan UKM FC masih tidak lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata dokumen yang tidak lengkap itu adalah berkaitan dengan senarai ahli lembaga pengarah Felda dan UKM.

FAM ternyata kurang berpuas hati dengan dokumen yang dihantar oleh kedua-dua pasukan itu namun membuat keputusan untuk memberi lanjutan satu hari lagi untuk melengkapkan dokumen tersebut.

“Mereka sudah bagi dokumen dan kami sedang menilai sebab ada dokumen yang perlu diteliti,” katanya kepada Harian Metro.

“Kami beritahu keputusannya sama ada mereka lepas dalam hal penswastaan ini ataupun tidak.”

Firdaus juga mendedahkan PDRM turut berdepan masalah dokumen tidak lengkap.

“PDRM menghantar dokumen dua minggu lalu, tapi hanya satu dokumen tak lengkap. Tapi mereka baru hantar, jadi ia selesai.”

Felda dan UKM FC diberikan masa tambahan beberapa jam sahaja untuk melengkapkan dokumen tidak lengkap, jika tidak mereka akan disingkirkan terus ke Liga M3.