Malaysia Berita

Luqman tersenarai antara 60 pemain remaja terbaik dunia

Pemain skuad B-18 negara, Luqman Hakim telah tersenarai antara 60 pemain berbakat dalam dunia bola sepak bagi tahun 2019. 

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh The Guardian, pemain kelahiran Kota Bharu itu berada sebaris bersama bintang muda Barcelona, Ansu Fati dan bintang muda Real Madrid, Andri Lucas Gudjohnsen yang juga merupakan anak kepada bekas bintang Chelsea dan Barcelona, Eidur Gudjohnsen.

 

The Guardian telah mengeluarkan senarai pemain muda seperti ini sejak 2014. Malaysia perlu berbangga kerana bakat pemain muda negara diiktiraf media antarabangsa. Pada bulan lepas, Luqman telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Luqman merupakan antara generasi pertama dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan telah mempamerkan persembahan bertenaga pada Kejuaraan AFF Bawah 18 tahun pada Ogos lepas. 

Lebih membanggakan, Luqman merupakan satu daripada dua pemain benua Asia yang tersenarai dalam senarai tersebut. Seorang lagi pemain ialah Suphanat Mueanta dari Thailand.

Kini, Luqman berada di Jepun bersama-sama dua lagi pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Sikh Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri bagi menjalani latihan percubaan bersama pasukan kelab bola sepak FC Tokyo dan Akademi JFA. 

Semoga pemain muda berbakat ini mampu meneruskan kecemerlangan dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.