Liga Super Malaysia Berita

Puma Orbita MFL 1 bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025

MFL memulakan musim baharu dengan pelancaran bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025 iaitu PUMA Orbita MFL 1.

MFL adalah liga bola sepak pertama di Asia yang menggunakan bola perlawanan rasmi rekaan PUMA menyaksikan ini adalah musim ketiga kerjasama ini terjalin menerusi PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro yang digunakan sebagai bola rasmi Liga Malaysia 2022.

Penggunaan PUMA Orbita MFL 1 selaku bola rasmi menjadikan Liga Malaysia mengikuti jejak langkah dua liga terkemuka dunia iaitu LaLiga di Sepanyol dan Serie A di Itali selain pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup dan Papa John’s Trophy.

“Memasuki musim ketiga bersama PUMA, saya percaya jalinan kerjasama ini akan terus memberi impak positif,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“Saya berharap semua kelab dan para pemain akan dapat mempersembahkan aksi yang lebih memberangsangkan menerusi bola rasmi PUMA ini sekali gus melonjakkan lagi mutu kualiti liga kita.”

Menggabungkan warna ikonik kuning, merah, putih dan biru yang diilhamkan daripada bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang, PUMA ORBITA MFL 1 menampilkan reka bentuk berani dan rekaan grafik yang menarik dengan warna asas putih.

Logo PUMA berwarna kuning terang pula melengkapkan lagi penampilan yang menakjubkan bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025.

PUMA Orbita MFL 1 dihasilkan dengan frekuensi tinggi direka untuk pengekalan bentuk yang luar biasa, ketahanan yang tinggi selain pengurangan penyerapan air.

Konfigurasi 12 panel yang luar biasa memastikan berat yang seimbang dan dapat meningkatkan kstabilan bola selain jahitan yang diperbesarkan dapat meningkatkan lagi aerodinamik untuk trajektori dan kelajuan optimum apabila dilantun atau semasa bola di udara.

PUMA ORBITA MFL 1 direka dengan teknologi terkini dengan ciri-ciri permukaan PU 1.2mm bertekstur 3D bagi meningkatkan ketahanan, melonjakan kepekaan daya lantunan dan kawalan bola yang lebih baik.

Pemilihan ‘rubber bladder’ yang digunakan serta teknologi PAL (Puma Air Lock) memberikan pengekalan udara dan lantunan udara yang lebih tepat sepanjang perlawanan untuk permainan yang mantap dan lancar.

Disahkan oleh FIFA Quality Pro, PUMA ORBITA MFL 1 menjamin kualiti kelas pertama dengan prestasi dan ketepatan yang tiada tandingan di atas padang.

Bola PUMA Orbita MFL 1 boleh didapati secara eksklusif di ACTIVE SPORTS dan kedai PUMA terpilih dengan harga RM599.