Kolum

Indonesia vs Malaysia : Rusuhan yang mencerminkan identiti sesuatu bangsa

Perlawanan panas yang melelahkan buat skuad Malaysia apabila dipaksa untuk menaiki Barracuda atas faktor keselamatan selepas berjaya membenam skuad tuan rumah Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Perlawanan Indonesia dan Malaysia tidak asing lagi buat para peminat apabila sejarah pernah mencatatkan betapa bencinya penyokong Garuda apabila mereka tewas di tangan jiran tetangga, Malaysia. Pentas akhir Piala AFF 2010 pernah mencatatkan cerita yang sama, begitu juga dengan aksi Sukan SEA 2010.

Keghairahan penyokong tuan rumah bermula dua jam sebelum sepak mula apabila mereka menyambut skuad Malaysia dengan laungan ‘Malaysia itu a*****’. Ditambah pula dengan aksi balingan batu dan botol ketika penyokong Harimau Malaya hadir untuk menikmati kepanasan suasana Gelora Bung Karno.

Suasana yang sebelum ini dikatakan ‘aman’ oleh pihak Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) hanyalah dongeng kosong yang membawa kepada tercetusnya beberapa insiden yang kurang enak. Beberapa kata makian dan balingan objek merbahaya menghujani skuad negara ketika perlawanan dimainkan.

Drama yang tidak terhenti disitu berlarutan seawal minit pertama, selepas Malaysia berjaya bangkit dua kali setelah ketinggalan dengan jaringan Beto Goncalves, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-69 selepas beberapa penyokong Indonesia cuba memasuki kawasan penyokong Malaysia.

Ketidakpuashatian itu ditambah lagi dengan hujan makian dan balingan botol yang mengandungi air kencing sehingga terkena beberapa penyokong Malaysia.

Jaringan lewat Sumareh menambah kemarahan penyokong Indonesia yang jelas tidak boleh menerima kekalahan di tangan Malaysia apabila mereka mula mengepung dan menyerang penyokong Malaysia yang berada di sana.

Antara mangsa yang tersekat di dalam kepungan marah dan tidak puas hati penyokong Indonesia adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq. Beliau dengan jelas mengutuk perbuatan penyokong Indonesia dan berjanji akan membawa kes ini ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Saya dimaklumkan FAM bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA. Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana.” Kata Syed Saddiq di laman rasmi Twitter beliau.

Perlawanan ini jelas mencerminkan sikap ketamadunan sesuatu bangsa dan tahap kompetan sebuah pemerintahan. Pramoedya Ananta Toer seorang tokoh sastera Indonesia, dalam karyanya, Arok Dedes pernah menyebut ; “Setiap kerusuhan di sesuatu negeri, bukan hanya Tumampel, adalah cerminan dari ketidakmampuan yang memerintah.”

Rusuhan yang berlaku jelas menunjukkan sikap PSSI yang tidak mengambil serius soal keselamatan apabila menjaminkan janji kosong kepada penyokong Malaysia dan skuad negara bahawa isu keselamatan adalah keutamaan mereka.