Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 12 Jun 2018

Terdapat beberapa berita yang mengejutkan mengenai spekulasi perpindahan pemain di dunia. Walaupun ketika ini tumpuan lebih terarah kepada saingan Piala Dunia 2018, namun pemain-pemain tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan beberapa perpindahan. Berikut adalah senarai sebahagian daripadanya.

Kylian Mbappe

Manchester United dilaporkan sedang mempertimbang untuk melancarkan bidaan wang besar bagi mendapatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe. Situasi itu semakin hangat apabila PSG dilaporkan terpaksa melepaskan Mbappe bagi meyakinkan Neymar untuk kekal bersama pasukan, sekaligus membuatkan yuran perpindahan berjumlah EUR270 juta untuk ke Old Trafford boleh diselesaikan.

Cristiano Ronaldo

Pemenang Ballon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo, dikatakan masih berharap dapat meninggalkan Real Madrid dan kini semakin kecewa dengan situasi yang melanda dirinya. Bintang Portugal itu memberi bayangan akan meninggalkan Los Blancos selepas aksi final Liga Juara-Juara Eropah pada Mei lalu dan dilaporkan dia tidak gembira kerana cara kelab dalam memperbaharui kontraknya.

Alisson Becker

Penjaga gol nombor satu Brazil, Alisson Becker, mahu menyelesaikan teka-teki mengenai masa depannya sebelum bermula saingan Piala Dunia 2018. Bintang AS Roma yang membawa pasukannya sehingga ke separuh Liga Juara-Juara Eropah itu menjadi buruan utama Liverpool, sambil Real Madrid turut menyertai barisan kelab yang inginkan khidmatnya. Alisson telah menyerahkan masa depannya kepada ejennya untuk membuat keputusan terbaik.

Marcus Rashford

Newcastle United dilaporkan sedang cuba untuk mendapatkan bintang muda Manchester United dan England, Marcus Rashford, secara pinjaman. Pemain berusia 20 tahun itu gagal menarik perhatian Jose Mourinho pada musim lalu, namun menampilkan aksi cemerlang sewaktu England menewaskan Costa Rica dalam aksi persahabatan, minggu lepas. Situasi itu membuatkan pengurus The Magpies, Rafael Benitez, mahu memperkuatkan barisan depannya dengan kelibat Rashford.

Mateo Kovacic

Pemain tengah Real Madrid, Mateo Kovacic, tidak pasti sama ada ingin kekal bersama kelab LaLiga itu atau  berhijrah ke Serie A menyertai Juventus. Menurut AS, bintang Croatia itu menjadi sasaran Juve sejak 2017 dan pemergian Zinedine Zidane yang meninggalkan jawatan pengurus Los Blancos membuatkan dia kini mula memikirkan sama ada mahu kekal atau kembali ke Itali, selepas sebelum ini pernah mewakili Inter Milan.