Malaysia Berita

Bolos tiga gol, Harimau Malaya gagal saingi Vietnam

Malaysia dikejutkan daripada buaian kemenangan apabila tewas 3-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam tadi.

Ini selepas Harimau Malaya menang 3-1 ke atas Kemboja dan 4-0 ke atas Laos pada dua perlawanan pertama.

Malaysia kini jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini pendahulu kumpulan manakala Indonesia naik ke tempat kedua selepas menewaskan Laos 5-1.

Ia juga kekalahan ke-6 Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan Vietnam sejak mengendalikan pasukan negara pada 2017.

Skuad negara yang sudah pun diasak dalam 20 minit pertama, menerima tamparan apabila Aidil Zafua mengalami kecederaan di paha Dan terpaksa dibawa keluar pada minit ke-24.

Dominic Tan dibawa masuk untuk digandingkan bersama Shahrul Mohd Saad namun beberapa minit kemudian Vietnam menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi Nguyen Quang Hai berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan.

Selang seminit kemudian, Malaysia memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan Vietnam tertanduk bola ke belakang tepat ke kaki penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal, namun rembatan kaki kiri pemain berusia 19 tahun itu tersasar.

Kombinasi kurang baik antara Shahrul dan Dominic sekali lagi menghukum skuad kebangsaan, apabila Nguyen Cong Phuong mudah membuat larian untuk melepasi halangan dua pemain itu sebelum mengacah Dominic, dan melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-36.

Gerakan berbahaya Malaysia hadir pada penghujung babak pertama, namun Muhammad Syafiq Ahmad gagal menyudahkan peluang itu masing-masing menerusi tandukan pada minit ke-38 dan rembatan kaki kanan pada masa tambahan.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad kebangsaan membawa masuk pemain naturalisasi Guilherme De Paula dan M. Kogileswaran dalam usaha mengubah rentak perlawanan dan memburu jaringan sementara Vietnam mula memperlahankan tempo permainan.

Malaysia terus ditimpa malang apabila seorang demi seorang pemain mengalami kecederaan dan keadaan itu memaksa Cheng Hoe membuat pertukaran menggantikan Shahrul Saad dengan Ariff Farhan Md Isa, selain turut membawa masuk penyerang Shahrel Fikri Md Fauzi.

Bagaimanapun, Vietnam ternyata tidak tergugat sebaliknya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-89 menerusi Nguyen Hoang Duc, melengkapkan kemenangan di penghujung perlawanan.

Malaysia akan bertemu Indonesia pada Ahad, 19 Disember ini.