Piala Dunia 2018 Berita

Nike hentikan penghantaran kasut bola kepada skuad kebangsaan Iran

Dua hari sebelum bermulanya Piala Dunia 2018, satu syarikat barangan sukan gergasi telah membuat keputusan untuk tidak lagi menyediakan kasut untuk salah satu negara bertanding.

Syarikat pengeluar jenama sukan terkemuka, Nike telah mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan menyediakan kasut bola untuk pasukan kebangsaan Iran, seminggu sebelum perlawanan pertama Iran di Piala Dunia menentang Morocco.

Nike sebelum ini telah menyediakan kasut bola untuk beberapa pemain Iran sebelum ini, termasuk di Piala Dunia 2014, tetapi nampaknya sekarang pemain-pemain itu perlu membeli sendiri kasut mereka jika masih mahu menyarung kasut Nike selepas ini.

Pihak Nike telah mengeluarkan satu kenyataan di mana mereka menyatakan bahawa mereka dilarang untuk membekalkan apa-apa barangan kepada pasukan kebangsaan Iran.

“Larangan Amerika Syarikat bermaksud, sebuah syarikat Amerika Syarikat, Nike tidak boleh menyediakan kasut bola kepada pemain-pemain skuad kebangsaan Iran buat masa ini.”

Perkara ini telah mengejutkan dan mengecewakan ketua jurulatih Iran, Carlos Queiroz kerana ini boleh mengganggu persiapan pasukan mereka. Pemain-pemain tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan kasut lain yang mereka tidak pernah gunakan.

Perkara ini dikatakan berlaku ketika ketegangan di antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Iran sedang memuncak di mana pada bulan lalu, Trump telah menarik semula perjanjian nuklear Iran 2015 dan mengenakan kembali larangan yang sebelum ini telah ditarik.