Piala Dunia 2018 Luar Negara

Kisah 12 anak muda, Wild Boars FC dan Piala Dunia

Ketika kita sedang menikmati Piala Dunia di atas kerusi empuk sambil menikmati teh tarik atau kopi sambil bergelak ketawa bersama rakan-rakan, ada 12 orang pemain bola sepak cilik dan jurulatih mereka sedang bersabung nyawa di dalam sebuah gua di Chiang Rai, Thailand.

Mungkin ramai di kalangan kita sudah tahu mengenai kejadian yang menimpa dan mengikuti perkembangan misi menyelamat mereka. Sebagai peminat bolasepak, kejadian yang menimpa pemain-pemain ini sememangnya mengejutkan kita di saat Piala Dunia sedang berlangsung.

Ucapan selamat berjaya dan doa dikirimkan dari seluruh pelusuk dunia. Selain daripada kita orang biasa, ucapan dan doa turut disampaikan oleh keluarga bolasepak seluruh dunia. Lagenda Brazil, Ronaldo dalam satu laporan CNN berkata sebelum misi menyelamat bermula: “ Ianya satu berita yang teruk dan dunia bolasepak berharap mereka akan dapat mencari jalan untuk mengeluarkan mereka.”

Pemain pertahanan England yang masih beraksi di Piala Dunia, John Stones menurut laporan media Britain menyatakan pemain-pemain dalam skuad England ada berbincang mengenai tragedi ini. “ Saya ada bercakap mengenai perkara ini bersama rakan sepasukan. Ianya satu perkara yang menyedihkan dan kami harap mereka akan dapat keluar dengan selamat.”

Pemain-pemain pasukan Willd Boar FC atau dalam bahasa Thai, Moo Pa, yang berusia di antara 11-16 tahun ini turut menerima undangan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia pada hari Ahad nanti.

Sebagai pencinta bolasepak, apa yang terjadi kepada pemain-pemain cilik ini adalah sangat menyedihkan. Jika, bukan, BILA mereka berjaya dikeluarkan, banyak yang boleh kita pelajari daripada semangat dan kecekalan anak-anak muda ini. Mereka mampu bertahan selama lebih daripada dua minggu dalam kegelapan, tanpa makanan, minuman dan kesejukan. Semangat inilah yang kita perlukan terutamanya dalam bolasepak.

Di saat artikel ini diterbitkan, kesemua 4 orang mangsa sudah selamat dikeluarkan dengan baki yang lain masih dalam proses diselamatkan. Satu berita gembira buat kita semua yang mengikut perkembangan tragedi ini.

Kejayaan menyelamatkan Wild Boar FC ini adalah kemenangan sebenar Piala Dunia. Tidak kira siapa pun yang menang pada 15 Julai ini, Wild Boar FC perlu dijulang sebagai pemenang kerana semangat dan kecekalan mereka selama 15 hari di dalam Gua Tham Luang.