Kajian & Analisis Malaysia

Analisis: Romel Morales senjata rahsia PKNS, prestasi Khairul Fahmi semakin merudum

PKNS berjaya menempah slot suku akhir di pentas Shopee Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 4-1 di Stadium Shah Alam malam ini.

Empat pemain berbeza menjaringkan gol untuk skuad Datuk K. Rajagobal malam ini, termasuk tonggak utama di bahagian serangan, Rafael Ramazotti. Manakala Mohammed Ghaddar pula sempat menjaringkan gol tunggal Kelantan pada minit-minit akhir perlawanan.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut PKNS ke atas pasukan Kelantan, selepas mengalahkan mereka 1-0 dalam aksi Liga Super minggu lepas.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan malam ini:

KEBANGKITAN MAHALI JASULI

Selepas sekian lama mendiam, Mahali Jasuli kembali meletup bersama PKNS pada awal musim ini. Tetapi pada waktu itu, persoalan yang timbul di bibir setiap peminat adalah: Mampukah Mahali mengekalkan prestasi ini secara konsisten? Malam ini, dia terus membuktikan kebangkitannya di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, dan menyumbang satu gol untuk membantu PKNS menumpaskan Kelantan 4-1 di Stadium Shah Alam. Gol tersebut merupakan jaringan ketiga Mahali untuk PKNS musim ini.

KELANTAN PERLU CARI JURULATIH BARU DENGAN SEGERA

Yusri Che Lah jelas mempunyai potensi sebagai seorang jurulatih tetapi Kelantan memerlukan seorang jurulatih yang berpengalaman dan mereka memerlukan individu tersebut dengan segera. Malam ini, Kelantan sekali lagi gagal menunjukkan disiplin taktikal di atas padang, dan sebilangan pemain mereka banyak melakukan kesilapan mudah yang membunuh momentum mereka. Barisan pemain Red Warriors juga nampak tidak bersemangat dan jika mereka mahu bangkit semula di pentas Liga Super, pihak pengurusan KAFA perlu menggunakan dua minggu seterusnya untuk melantik jurulatih yang lebih berpengalaman.

TIADA KESERASIAN DI JENTERA SERANGAN TRW

Atas kertas, Kelantan sebenarnya mempunyai jentera serangan yang cukup berbisa. Ferdinand Sinaga, yang tidak diturunkan malam ini, serta Bruno Lopes, bermain dengan cukup konsisten di Indonesia musim lepas, Do Dong Hyun pula menjadi antara pemain import yang mencuri tumpuan bersama UiTM tahun lepas, manakala kita semua tahu akan kebolehan yang dimiliki oleh Mohammed Ghaddar. Namun, keempat-empat pemain ini masih belum mencari berjaya mencari rentak dan keserasian setakat ini, terutamanya Ghaddar. Walaupun dia berjaya menjaringkan gol hari ini, corak permainannya lebih cenderung ke arah individualisme.

ROMEL MORALES SENJATA RAHSIA PKNS

Musim ini, banyak fokus diberikan terhadap Mahali Jasuli, Rafael Ramazotti dan juga Faris Ramli tetapi seorang lagi pemain PKNS yang layak diberi pujian adalah Romel Morales. Bekas pemain muda River Plate ini hanya berumur 20 tahun tetapi memilih untuk bermain di negara asing. Dan dia sudah mula menjadi tonggak penting untuk PKNS di bahagian ‘attacking midfield’. Dia bukan sahaja boleh berfungsi sebagai playmaker, malah Morales juga mampu menjaringkan gol - dia sudah menjaringkan dua gol untuk PKNS di pentas Piala FA, termasuk jaringan menentang Kelantan hari ini.

PRESTASI KHAIRUL FAHMI

Ramai penyokong bolasepak tanah air masih tertanya-tanya, mengapa Khairul Fahmi dipilih oleh Tan Cheng Hoe untuk menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya akan turun berdepan Mongolia dan Lebanon. Persoalan tersebut kembali bermain di fikiran peminat malam ini selepas Apek terus gagal mencatat clean sheet, dan membolos empat gol di Stadium Shah Alam. Rekodnya di pentas Liga Super juga tidak begitu positif - tiada clean sheet dalam lima perlawanan setakat ini.