Asia Kajian & Analisis

Analisis: Safawi, Hazwan selamatkan Johor DT, Kumpulan H kini terbuka luas

Johor Darul Ta’zim berjaya mendapatkan kemenangan kedua mereka di pentas Piala AFC selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haj Hassan Yunos malam ini.

Safawi Rasid membuka tirai jaringan pada babak pertama, sebelum kesilapan ‘handball’ yang dilakukan oleh La’Vere Corbin-Ong menghadiahkan sepakan penalti untuk Tampines. Khairul Amri ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut dan dia berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-44.

Namun, Hazwan Bakri muncul hero JDT pada babak kedua apabila menyudahkan hantaran Natxo Insa dengan cemerlang untuk membantu JDT meraih tiga mata penting. Walaupun keputusan ini mengekalkan JDT di tangga ketiga Kumpulan H, mereka kini mempunyai jumlah mata yang sama dengan Song Lam Nghe An dan juga Persija Jakarta.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan tersebut:

SAFAWI TERUS MENYERLAH

Sebelum ini, kami pernah mengatakan Safawi Rasid perlu diberi peluang bermain secara kosnsisten, jika kita mahu terus melihat kariernya berkembang secara konsistent. Hari ini, dia diturunkan oleh Raul Longhi sekali lagi dan Safawi tampil dengan persembahan yang cukup positif. Pada babak pertama, larian-larian yang dilakukan oleh Safawi sentiasa mengucar-kacirkan pertahanan Tampines sebelum dia akhirnya berjaya membuka tirai jaringan dengan percubaan yang cantik.

KESILAPAN YANG TIDAK PATUT BERLAKU

Tidak dinafikan bahawa La'Vere Corbin-Ong merupakan pemain yang sudah mula disukai oleh ramai peminat bolasepak di Malaysia, bukan sahaja penyokong Johor DT. Tetapi malam ini, dia hampir memusnahkan harapan JDT untuk menewaskan Tampines dengan kesilapan 'handball' yang tidak sepatutnya berlaku. Lihat semula ulang tayang insiden tersebut, Corbin-Ong tidak mempunyai apa-apa sebab untuk menggunakan tangannya dan sekiranya Hazwan Bakri tidak menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua, kesilapan Corbin-Ong mungkin memberi impak yang negatif terhadap aspirasi JDT di pentas Piala AFC.

HAZWAN BAKRI & ISU KEYAKINAN

Malam ini, selepas sekian lama, Hazwan Bakri kembali menunjukkan kebolehannya di atas padang. Situasi ini berlaku atas dua faktor. Yang pertama, Hazwan Bakri telah diberi peluang bermain secara konsisten, selepas pemergian Jorge Pereyra Diaz baru-baru ini. Selain ini, Hazwan turut diberi peluang bermain sebagai penyerang utama malam tadi, posisi kegemarannya, ketika di Selangor lagi. Peluang bermain di kesebelasan pertama JDT secara konsisten telah jelas meningkatkan kualiti Hazwan di atas padang, walaupun dia masih mempunyai beberapa isu yang perlu diselesaikan, termasuk isu keyakinan. Ada sebuah insiden pada babak kedua, di mana Hazwan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi dia tidak yakin untuk membuat percubaan dan akhirnya memilih untuk cuba mencari rakan sepasukannya. Malangnya, dia gagal mencari Natxo Insa dan skor perlawanan terus kekal 1-1 pada waktu itu.

AFIQ FAZAIL KINI LEBIH MATANG

Malam ini, Afiq Fazail sekali lagi menunjukkan kenapa barisan kejurulatihan Johor DT mempunyai harapan yang besar untuk kariernya. Biarpun baru berumur 23 tahun, Afiq menunjukkan tahap kematangan yang tinggi di atas padang dan tidak susah untuk melihat bahawa corak permainanya semakin bertambah baik. Afiq kini digandingkan dengan Natxo Insa di bahagian tengah JDT secara konsisten, dan dia perlu terus menggunakan peluang tersebut untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada bekas pemain Levante itu.

SAFIQ RAHIM SEMAKIN PUDAR?

Selepas tidak dimasukkan ke dalam kesebelasan pertama ketika menentang Terengganu, malam ini Safiq Rahim dikeluarkan oleh Raul Longhi pada awal babak kedua, selepas tampil dengan aksi yang tidak begitu efektif. Persoalan yang kini timbul adalah masa depan Safiq Rahim dalam perancangan JDT untuk baki musim ini kerana ramai yang sudah mula sedar bahawa aksinya di atas padang semakin pudar. Buat masa sekarang, kita masih tidak tahu jika isu ini adalah isu yang sementara atau isu jangka masa panjang yang perlu ditangani oleh JDT. Tetapi hakikatnya adalah Safiq Rahim masih memainkan peranan yang besar dan prestasi semasanya sudah tentu menjadi kebimbangan barisan kejurulatihan JDT.

KUMPULAN H KINI TERBUKA LUAS

Kemenangan JDT ke atas Tampines dan juga kekalahan Song Lam Nghe An di Jakarta bermakna Kumpulan H kini terbuka secara luas. Berbaki dua perlawanan, tiga pasukan kini mempunyai tujuh mata, iaitu Song Lam Nghe An, Persija Jakarta dan juga JDT. Perlawanan seterusnya akan berlangsung pada 10 April, di mana JDT akan berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno untuk menentang Persija Jakarta, manakala Song Lam pula akan turun berentap dengan Tampines Rovers.