Kolum Luar Negara

“First Team: Juventus” – Dokumentari Netflix yang memaparkan kisah Bianconeri

Semua pemain Juventus berkumpul secara terbuka, tiada pengecualian. Situasi itu melibatkan pemain, jurulatih dan semua staf pasukan bersama jersi hitam putih kebanggaan mereka.

Mereka berkumpul atas satu perkara yang lazimnya dilakukan pada setiap tahun, iaitu sesi mengambil foto pasukan. Itu adalah babak awal dalam dokumentari yang ditayangkan menerusi Netflix bertajuk “First Team: Juventus.”

Ia menceritakan perjalanan skuad The Old Lady disepanjang musim 2017/18. Bukan sahaj menayangkan detik ketika beraksi tetapi ia turut memaparkan kisah peribadi beberapa pemain serta pengurus, Massimiliano Allegri. Di sini, penulis akan menceritakan kisah mengenai dokumentari ini.

Tradisi Juventus

Seperti yang diketahui ramai, Juve adalah salah sebuah pasukan yang paling berjaya di Itali serta Eropah. Enam gelaran juara Serie A serta tiga PIala Itali secara berturut-turut cukup untuk menyokong fakta tersebut. Kemenangan adalah tradisi mereka dan anda akan ketahuinya melalui dokumentari ini.

Dimulakan dengan pertemuan pemain-pemain dan Presiden Juventus, Andrea Agnelli, yang mengingatkan mereka tentang tradisi yang dimiliki kelab. Terdapat beberapa detik yang menunjukkan kentalnya mentality skuad The Old Lady, termasuk ketika ketinggalan satu gol bertemu Sporting Lisbon dan Benevento.

Setiap tradisi sudah pasti berdepan rintangan dan ianya adalah harapan tinggi yang ditetapkan. Ia juga memaparkan bagaimana mereka menghadapi situasi tersebut. Anda juga boleh menonton persiapan mereka sewaktu sesi latihan bersama pasukan amatur bagi menghadapi Lazio.

Pemain juga manusia biasa

Seperti dinyatakan sebelum ini, dokumentari ini bukan sahaja memaparkan kisah bola sepak semata-mata tetapi turut menampilkan cerita peribadi beberapa individu termasuk pemain. Antaranya, bagaimana cara mereka menghabiskan masa di luar padang.

Anda boleh menyaksikan Miralem Pjanic meluangkan masa bersama anaknya. Begitu juga dengan Claudio Marchisio yang meminum kopi sambil menonton televisyen atau membaca buku. Saat mereka meraikan Hari Krismas turut diselitkan dalam dokumentari ini.

Babak-babak tersebut tentunya akan membuat anda tersenyum apabila melihat kehidupan seharian mereka sebagai seorang manusia, bukan pemain bola sepak.

Liga Juara-Juara adalah sasaran Juventus musim ini

Ya, kebanjiran trofi di Turin tidak membuatkan mereka cepat berpuas hati, sebaliknya mereka meyasarkan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Lebih-lebih lagi, mereka dikecewakan oleh Barcelona di final pada musim 2014/15, sebelum Real Madrid menafikan peluang mereka di pentas sama, dua tahun kemudian.

Dalam satu wawancara Juan Cuadrado dan Mattia De Sciglio ketika menghadiri acara anjuran jenama terkenal, Adidas, terdapat satu insiden menarik berlaku. Apabila De Sciglio diminta untuk memilih sama ada menjulang trofi Liga Juara-Juara atau Piala Dunia, dia menjadikan jawapan pertama sebagai pilihan.

Tontonan menarik untuk semua

Kesimpulannya, dokumentari ini boleh dinikmati oleh semua penggemar bola sepak, tidak kira sama ada mereka merupakan peminat Juve atau tidak. Paling menari, ia memaparkan setiap inci kisah pemain-pemain termasuk Gianluigi Buffon, Marchisio, Gonzalo Higuain, Pjanic, Giorgio Chiellini, Sami Khedira, Daniele Rugani serta Federico Bernadeschi. Ia mungkin akan dipaparkan tatkala rancangan ini baru sahaja tiba ke episode tiga.

Jika anda mempunyai masa lapang dan mahu mengetahui bagaimana mereka berlatih dan mempersiapkan diri bagi musim ini, “First Team: Juventus” adalah jawapannya. Apa yang pasti, pengakhiran siri enam episode ini akan bergantung sama ada mereka mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara atau tidak.

Untuk menyaksikan perlawanan Serie A di Malaysia secara Live in HD, sila layari laman web rasmi SportsFix.TV!