Luar Negara

Mark Hughes diumum pengurus baru Southampton FC

Nampaknya ada sesuatu dengan warna merah putih yang menarik perhatian Mark Hughes.

Selepas dipecat dari jawatan pengurus bersama Stoke City tidak lama sebelum ini, Mark Hughes kini diumumkan sebagai pengurus baru pasukan Southampton FC.

Southampton telah memecat pengurus mereka, Mauricio Pellegrino selepas The Saints menunjukkan aksi buruk di Liga Perdana Inggeris dan berada dalam kedudukan tidak selamat yang terlalu hampir dengan zon penyingkiran.

Apa yang melucukan, Southampton memilih Hughes, bekas pengurus Stoke, sebuah kelab yang berada di zon penyingkiran untuk menyelamatkan kelab mereka daripada tersingkir.

Mark Hughes telah menandatangani kontrak bersama Southampton sehingga penghujung musim ini. Jika dia berjaya menyelamatkan kelab daripada tersingkir, pastinya Southampton akan menawarkan kontrak baru kepadanya.

Hughes bukanlah seorang pengurus yang teruk. Dia berjaya mencipta kejutan ketika menguruskan Blackburn Rovers. Dia merupakan antara pengurus terawal Manchester City ketika mereka melalui revolusi. Bersama Stoke City, dia membantu menaikkan kelab berkenaan menjadi kelab di kelompok pertengahan liga, hampir setiap musim.

Bagi Southampton pula, mereka sering kehilangan jurulatih yang bagus kepada pasukan lawan mereka. Mauricio Pochettino berpindah ke Tottenham Hotspur sementara Ronald Koeman berpindah ke Everton sebelum dipecat.