Liga Super Malaysia

Porsche adalah hasil titik peluh Safawi Rasid di JDT

Ada peminat yang mungkin tidak berpuas hati dengan tindakan Safawi Rasid membeli kereta semewah Porsche yang berharga hampir setengah juta, namun ia sebenarnya adalah satu hadiah hasil titk peluh pemain itu sendiri.

Sejak menyertai JDT pada 2017, Safawi berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasinya.

Ketika itu dia cuma salah seorang pemain muda negara tetapi berdepan cabaran besar kerana perlu bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman dan pemain import.

Namun, satu-satunya individu yang boleh meningkatkan prestasi hanyalah diri Safawi sendiri.

Sudah berapa ramai pemain muda di JDT yang tidak dapat bersaing dalam kesebelasan utama dan akhirnya mereka terpaksa meninggalkan pasukan.

Tetapi Safawi tetap tidak berputus asa. Beliau sendiri mengambil masa tiga tahun untuk menjadi pemain terbaik JDT dan skuad kebangsaan Malaysia.

Sejak berhijrah ke JDT, beliau memenangi lapan piala termasuk Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Pada masa sama juga, prestasi Safawi dalam skuad kebangsaan semakin meningkat apabila meraih pingat perak dalam Sukan SEA 2017, membantu menewaskan Korea Selatan pada Sukan Asia 2018, meraih naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Safawi juga beraksi dengan cukup baik ketika kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun lalu.

Perkembangan karier Safawi sepatutnya dibanggakan peminat bolasepak tanah air.

Safawi sendiri mengakui beliau memasang impian untuk membeli sebuah kereta berjenama apabila sudah berjaya sebagai pemain profesional.

“Alhamdulillah impian memiliki kenderaan ini tercapai dalam usia muda,” katanya kepada Arena Metro.

“Terima kasih diucapkan kepada pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu memberi dorongan dan semangat untuk terus berjaya.

“Kejayaan yang selama ini dikecapi adalah hasil daripada sokongan daripada semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa bersama saya.”

Safawi memuatnaik gambar dirinya bersama Porsche sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada peminatnya.