Liga Super Malaysia Berita

Syihan Hazmi sertai JDT

Syihan Hazmi diumumkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim bagi musim 2023.

Ini setelah penjaga gol berusia 26 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim 2022 bersama Negeri Sembilan.

Beliau menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik 2022 menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Malah, kecemerlangan beliau meraih perhatian jurulatih negara, Kim Pan-gon yang menjadikan beliau penjaga gol utama negara.

Justeru, Syihan dijangka menjadi penjaga gol utama buat JDT bagi musim 2023 bagi menggantikan Farizal yang kini berusia 36 tahun.

Syihan yang berasal dari Kelantan dan berketinggian 185cm merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum menyertai Harimau Muda C dan skuad Piala Presiden Kelantan.

Beliau menyertai Negeri Sembilan pada 2018 namun hanya sempat beraksi dua perlawanan apabila digantung 20 bulan oleh AFC kerana gagal ujian doping ketika menyertai skuad Piala AFC B23 di China.

Dua tahun kemudian, Syihan menyertai PJ City namun hanya beraksi sebagai penjaga gol simpanan kepada Kalamullah Al-Hafiz.

Beliau membuat keputusan untuk kembali ke Negeri Sembilan pada 2022, beraksi dalam kesemua perlawanan Liga Super sekali gus membantu pasukannya menamatkan saingan liga di tangga ke-4.