Asia AFC Cup

Analisis: Tampines, JDT pamer aksi hambar, formasi 4-3-3 tidak sesuai untuk Darren Lok?

Tampines Rovers berjaya memungut mata pertama mereka di pentas Piala AFC 2018 selepas seri 0-0 bersama juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim.

Raul Longhi, selaku jurulatih sementara JDT, membuat keputusan untuk merehatkan ramai pemain utama mereka menjelang perlawanan Liga Super menentang Terengganu hujung minggu ini. Dan keputusan tersebut sedikit sebanyak memberi impak terhadap kualiti perlawanan, meskipun skuad Southern Tigers berjaya melancarkan 16 percubaan ke arah gol Tampines.

Keputusan 0-0 ini bermakna JDT kekal di tangga ketiga Kumpulan dengan empat daripada tiga perlawanan, manakala Tampines pula kekal di kedudukan tercorot dengan satu mata. Song Lam Nghe An terus mendahului kumpulan tersebut dengan tujuh mata, walaupun sekadar seri 0-0 bersama Persija Jakarta, yang kini menghuni tempat kedua dengan empat mata.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

AKSI YANG HAMBAR

Tampines masih belum meraih tiga mata. JDT tewas di Vietnam minggu lepas. Ini adalah antara dua faktor yang meyakinkan ramai orang bahawa perlawanan malam ini di Stadium Jalan Besar bakal menyajikan aksi yang bertenaga. Namun, tempo perlawanan tersebut cukup hambar, seolah-olah kedua-dua pasukan sekadar puas hati untuk pulang dengan satu mata. Kemasukan Safiq Rahim pada babak kedua ada meningkatkan intensiti perlawanan tetapi secara keseluruhan, Tampines dan JDT gagal menunjukkan keinginan untuk meraih kemenangan.

SITUASI NAZMI FAIZ DI JDT?

Apabila Nazmi berpindah ke JDT pada penghujung 2016, ramai memandang keputusan tersebut sebagai suatu perkara yang positif, terutamanya selepas JDT mendedahkan pelan untuk menghantar pemain tersebut ke luar negara. Namun, pelan tersebut akhirnya dibatalkan dan karier Nazmi mula merosot sedikit demi sedikit. Nazmi jarang diberi peluang bermain dalam kesebelasan pertama, tetapi apabila diberi peluang, dia gagal menunjukkan aksi yang positif. Situasi tersebut berulang malam ini, di mana Nazmi tidak begitu efektif pada babak pertama, sehingga ditukarkan dengan Safiq Rahim untuk babak kedua.

ADAM NOR AZLIN PEMBELIAN TEMPATAN TERBAIK?

Ramai yang sedar bahawa jentera serangan JDT gagal berfungsi dengan efektif malam ini, tetapi barisan pertahanan tengah tampil dengan persembahan yang positif, terutamanya Adam Nor Azlin, yang terus berjaya membuktikan kebolehannya sebagai seorang pertahanan tengah. Gandingan Aidil dan Adam Nor Azlin menjadi kunci untuk mereka mengekang penyerang-penyerang Tampines, terutamanya Khairul Amri. Berdasarkan apa yang telah kita lihat setakat ini, tidak mustahil untuk mengatakan bahawa Adam Nor Azlin mungkin pembelian tempatan terbaik untuk JDT bagi musim ini.

DARREN LOK GAGAL MENYERLAH

Antara pemain yang diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan di atas padang malam ini adalah Darren Lok, tetapi pemain kacukan England-Malaysia itu gagal menyerlah. Dia sering mengambil terlalu banyak masa untuk membuat keputusan, dan majoriti percubaannya, tanpa mengambil kira satu percubaan yang ditepis oleh penjaga gol Tampines, gagal memberi kesan. Adakah Darren lebih sesuai untuk digunakan dalam formasi 4-4-2, di mana dia boleh bermain sebagai ‘support striker’ di posisi yang lebih tengah, berbanding formasi 4-3-3, di mana Darren terpaksa bermain sebagai penyerang sayap?

‘SQUAD DEPTH’ JDT YANG AGAK BAIK

Walaupun kita disajikan dengan aksi yang hambar, ‘squad depth’ yang dimiliki oleh JDT perlu diberi fokus kerana malam ini, mereka berjaya merehatkan hampir kesemua pemain-pemain utama dan menurunkan kesebelasan pertama yang dipenuhi dengan pemain-pemain simpanan. Ini termasuk Nazmi Faiz, Amirulhadi Zainal, Adam Nor Azlin dan juga Darren Lok. Hakikatnya adalah mereka tetap gagal memenangi perlawanan tersebut, tetapi kebolehan skuad ini mengawal tempo perlawanan dan membuat 16 percubaan ke arah gol, wajar disorot sebagai suatu perkara yang positif.