Liga Super Malaysia

Denda RM1.5 juta jika gagal melengkapkan pendaftaran, kata Kevin Ramalingam

Walaupun Presiden FAM mengumumkan mengenai penangguhan hukuman kepada pasukan-pasukan yang tidak menghantar dan terlewat menghantar dokumen pendaftaran pemain musim ini, ianya tidak bermaksud mereka boleh bertenang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, kesemua pasukan tetap perlu membayar denda dalam jumlah yang agak tinggi tetapi boleh dikurangkan jika mereka membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.

Pasukan-pasukan dari Liga Super seperti Kuala Lumpur, PKNS, Selangor dan Kelantan akan dikenakan denda RM1.5 juta bagi setiap pasukan, sementara pasukan dari Liga Premier, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC akan dikenakan denda RM 500,000.

Menurut Kevin lagi, pasukan yang lewat menghantar dokumen juga akan dikenakan hukuman penangguhan pemotongan mata, tetapi bagi pasukan yang gagal menghantar borang, hukumannya lebih teruk lagi kerana selain penangguhan pemotongan mata, mereka juga akan dikenakan sekatan perpindahan pemain baru sehingga perkara tersebut selesai.

Bagaimanapun, denda ini mungkin dikurangkan berdasarkan rayuan yang dibuat. Andai gagal menjelaskan denda, bayaran boleh dibuat menerusi pemotongan geran tahunan,” kata Kevin seperti dilaporkan Harian Metro.

Menuju ke arah liga bolasepak profesional, pasukan-pasukan di Liga Malaysia masih bertindak seperti pasukan amatur apabila perkara asas seperti pendaftaran pemain juga boleh dilupakan. Jika selepas ini berlaku lagi kesalahan yang sama, FAM dan FMLLP perlu bertindak tegas dan mengenakan hukuman lebih berat supaya tiada lagi pasukan yang akan membuat kerja sambil lewa lagi.