Asia Malaysia

Analisis: Safawi, Hazwan gagal menyerlah, Song Lam Nghe An mudah tundukkan JDT

Johor Darul Ta’zim mengalami kekalahan ketiga mereka untuk 2018 selepas ditumpaskan 0-2 oleh pasukan Vietnam, Song Lam Nghe An di Stadium Vinh petang tadi.

Skuad Southern Tigers turun beraksi tanpa Jorge Pereyra Diaz selepas pemain itu membuat keputusan untuk meninggalkan kelab tiga hari lepas.  Namun situasi ini memberi peluang kepada jurulatih sementera JDT, Raul Longhi untuk menamakan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri dalam kesebelasan pertama.

Tetapi, pasukan tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-22, melalui jaringan Phan Van Dhuc, sebelum Pham Xuan Manh menambahkan jaringan kedua pada minit-minit terakhir perlawanan untuk menghadiahkan kemenangan yang cukup berharga kepada Song Lam Nghe An.

Kekalahan ini bermakna JDT telah tewas dalam tiga perlawanan setakat ini, termasuk kekalahan 0-1 di tangan Kuala Lumpur, dua minggu lepas. Pada bulan Januari, JDT turut dikalahkan oleh Muangthong United dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia.

Berikut adalah analisis kami berdasarkan perlawanan Song Lam Nghe An vs Johor Darul Ta’zim yang berlangsung petang tadi:

HAZWAN & SAFAWI GAGAL MENYERLAH

Pemergian Jorge Pereyra Diaz dan ketiadaan Gonzalo Cabrera bermakna Hazwan Bakri dan Safawi Rasid diberi peluang beraksi di dalam kesebelasan pertama Johor Darul Ta’zim hari ini. Tetapi, kedua-dua pemain gagal mencuri tumpuan dengan persembahan yang agak sederhana. Sementera Diaz banyak membuat larian agresif dan menekan pertahanan lawan setiap kali dia diturunkan, Safawi dan Hazwan gagal mereplikasikan tenaga dan kesungguhan Diaz di atas padang hari ini.

Walau bagaimanapun, ini baru kali pertama Hazwan dan Safawi beraksi bersama Figueroa dan mereka perlu diberi masa untuk membina keserasian dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.

MENGAPA AIDIL/ADAM TIDAK DITURUNKAN DARI AWAL?

Meskipun Aidil Zafuan dan Adam Nor Azlin dibawa ke Vietnam, Raul Longhi membuat keputusan untuk mengandingkan Fadhli Shas dan Hariss Harun di bahagian pertahanan. Walaupun Hariss nampak selesa di posisi tersebut ketika menentang Persija Jakarta, dia diserang bertubi-tubi oleh pemain Song Lam Nghe An, sebelum Raul akhirnya membuat keputusan untuk mengeluarkan Afiq Fazail pada pertengahan babak pertama dan membawa masuk Aidil Zafuan. Itu memberi peluang kepada Hariss untuk bermain di posisi tengah yang digemarinya.

JDT GAGAL MENGEKANG JENTERA SERANGAN SONG LAM

Salah satu aspek yang membolehkan Song Lam Nghe An meraih kemenangan selesa hari ini adalah jentera serangan mereka yang bukan sahaja berbisa, malah cukup pantas. Serangan tiga serangai mereka, iaitu Phan Van Duc, Ho Tuan Tai & Michael Olaha, menekan pertahanan JDT secara konsisten sepanjang 90 minit tersebut. Olaha, dengan susuk badan yang besar, berjaya mengawal bola dan menunjukkan teknik ‘hold-up play’ yang bagus. Manakala Van Duc dan Tuan Tai pula menggunakan kepantasan mereka untuk menewaskan Kunanlan dan Corbin-Ong.

FARIZAL CUKUP KOMITED

Jika ada pemain JDT yang bermain dengan baik hari ini, ianya sudah tentu Farizal Marlias. Penjaga gol Malaysia ini terus diberi tugas menjaga gawang JDT petang tadi, dan dia tampil dengan persembahan yang berani, biarpun membolos dua gol. Bekas penjaga gol Perak membuat beberapa keputusan yang berani dan sempat keluar dari kawasannya untuk menyelamatkan bola atau menekan penyerang lawan, setiap kali mereka berjaya melepasi barisan pertahanan JDT.

JDT PERLU MEMPERBAIKI ‘REKOD AWAY’

Walaupun Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos menjadi kubu pasukan Johor Darul Ta’zim, rekod ‘away’ mereka, terutamanya di pentas Piala AFC agak mengecewakan. Termasuk kekalahan hari ini, JDT sudah tewas dalam tiga daripada lima perlawanan Piala AFC terakhir mereka di tempat lawan. Malah, JDT turut tewas dalam satu-satunya perlawanan ‘away’ Liga Super mereka musim ini – ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, dua minggu lepas.