Liga Super Malaysia

Selepas Morais, Diaz pula tinggalkan JDT

Apa sudah jadi dengan JDT?

Selepas ketua jurulatih mereka meletakkan jawatan, kini pemain import mereka pula meninggalkan kelab.

Menjelang perlawanan Piala AFC menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe Ahn, pemain import JDT, Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan hotel penginapan mereka di Singapura pada 12 tengah malam kelmarin.

Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi JDT, dikatakan bahawa ejen Diaz telah menghubungi pihak pengurusan pasukan dan memberitahu mereka niatnya untuk meninggalkan kelab.

JDT telah bersetuju untuk melepaskan pemain tersebut dan akan mencari pemain baru pada jendela perpindahan pada bulan Jun nanti.

Dalam satu kenyataan lain yang turut disiarkan dalam laman Facebook berkenaan, jurulatih baru JDT, Raul Longhi mahu setiap pemain dan pegawai pasukan menghormati polisi kelab.

Kenyataan tersebut seakan-akan dituju kepada Diaz dengan mengatakan tiada sesiapa lebih besar daripada kelab dan perlu menghormati polisi pasukan yang telah ditetapkan.