Malaysia Liga Super Malaysia

Raul Longhi dilantik jurulatih sementara Johor Darul Ta’zim

Johor Darul Ta’zim telah mengumumkan perlantikan Raul Longhi sebagai jurulatih sementara, selepas Ulisses Morais membuat keputusan untuk meletak jawatan petang semalam.

Morais meninggalkan JDT atas sebab peribadi, dan Raul Longhi, yang sudah bersama JDT selama tiga tahun, akan menjadi jurulatih sementara buat masa terdekat, termasuk perlawanan Piala AFC mereka menentang Song Lam Nghe An.

“Selain daripada mempunyai pengalaman menjadi ‘caretaker coach’ di Kelab Espanyol, pengalaman bersama kelab JDT selama 3 tahun dan arif mengenai kelab serta falsafah bolasepak JDT menjadi faktor beliau dilantik untuk melatih JDT,” kata Presiden JDT Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim. 

Longji pernah menjadi penolong jurulatih di beberapa kelab Sepanyol seperti Getafe dan Villareal dan juga pernah menjadi jurulatih sementara di Espanyol. 

Skuad Southern Tigers memulakan kempen Piala AFC mereka dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Persija Jakarta 3-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, pada 15 Februari lepas.