Malaysia

Eksklusif: D’AR Wanderers, Temerloh dan cita-cita ke Liga Premier

Dalam beberapa minggu ini, nama kelab dari Piala FAM, D’AR Wanderers FC mula menarik perhatian peminat bolasepak tempatan.

Sebelum ini mungkin mereka tidak begitu menjadi perhatian, tetapi selepas berita kehadiran pemain Kelantan, Norfarhan Muhamad, ramai mula tertanya-tanya mengenai kelab yang berpengkalan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh ini. Ini temubual eksklusif kami bersama D’AR Wanderers FC.

FT: Bagaimana boleh tertubuhnya D’AR Wanderers FC?

DAW: Kelab Bolasepak D’AR Wanderers (D’AR Wanderers FC) adalah cetusan idea daripada pemilik kelab iaitu Dato’ Ahmad Razali Bin Azmi. Kelab Bolasepak ini ditubuhkan atas dasar minat, visi dan cita-cita besar pemilik kelab terhadap sukan bolasepak.

 

 

FT: Kenapa D’AR Wanderers FC memilih Temerloh?

DAW: Penduduk di Temerloh amat menyukai permainan sukan bolasepak. Sukan bolasepak adalah hiburan bagi mereka. Dan pemilik kelab dapat merasakan pemilihan Bandar Temerloh amat bersesuaian dan dapat menaikan lagi keghairahan penduduk Temerloh terhadap sukan bolasepak. Selain itu, Pihak pengurusan kelab juga mendapati bahawa kami mampu menarik seramai mungkin penyokong untuk hadir ke stadium memberikan sokongan. Alhamdulillah, kehadiran penyokong ke stadium amat memberansangkan.

 

 

FT: Apakah kelebihan D’AR Wanderers FC sehingga boleh menarik pemain-pemain berpengalaman seperti Nor Farhan, Helmi Remeli, Daudsu dan ramai lagi?

DAW: Pemilik Kelab mempunyai hubungan baik dengan beberapa orang pemain di Malaysia dan jelas memberi banyak kelebihan dan manfaat kepada kelab.

FT: Apa perancangan D’AR Wanderers untuk Piala FAM? Pasukan mana yang boleh mencabar D’AR Wanderers?

DAW: Perancangan pasukan adalah untuk melayakkan diri ke Liga Premier tahun hadapan. Namun kami amat realistik dengan sasaran kami kerana kami adalah pasukan baru. Bagi kami, semua pasukan dalam Liga FAM adalah pencabar kami. Kami berharap, kehadiran pasukan kami ke dalam bolasepak Malaysia mampu memberikan impak yang baik dan memeriahkan lagi sukan bolasepak di Malaysia.

Buat masa ini D’AR Wanderers FC berada di tangga tercorot kumpulan B dalam saingan Piala FAM selepas sekadar mencatat satu kemenangan. Namun dengan kehadiran pemain-pemain seperti Helmi Remeli, Daudsu Jamaludin dan Norfarhan, tidak mustahil untuk mereka menunjukkan aksi lebih cemerlang dan bersaing untuk merebut slot ke Liga Premier musim hadapan. Kami di Football Tribe mengucapkan selamat berjaya kepada The Stallion!