Malaysia Kajian & Analisis

10 kelab terbaik di Asia Tenggara untuk bulan Mac 2018

Bulan Mac baru sahaja berakhir lima hari yang lalu. Beberapa liga bola sepak di Asia Tenggara sudah memasuki aksi keempat hingga ketujuh pada bulan tersebut, seperti Liga Super Malaysia 2018 dan Liga Vietnam. Beberapa kelab dari Asia Tenggara juga menyertai saingan di peringkat Asia seperti Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.

Berdasarkan kejohanan di peringkat tempatan atau benua, barisan penulis Football Tribe di seluruh Asia Tenggara berkolaborasi untuk membina senarai 10 kelab terbaik Asia Tenggara untuk bulan Mac.

Berikut adalah senarai tersebut:

10) Bali United

Bali United mungkin tidak menikmati saingan Go-Jek Liga 1 2018 pada awalnya disebabkan beberapa pemain baru sedang menyesuaikan diri seperti Ilija Spasojevic dan Milos Krkotic. Bagaimanapun, Serdadu Tridatu tidak menerima sebarang kekalahan bagi bulan Mac, tidak kira dalam saingan Piala AFC atau liga tempatan. Mereka menyumbat empat gol dan hanya dibolosi sekali. Bintang musim lalu, Stefano Lilipaly, kini sedang cuba menyesuaikan diri pada bulan ini.

9) PKNS FC

PKNS FC meneruskan prestasi terbaik di awal musim sehingga ke Mac dengan tiga kemenangan penting, termasuk kejayaan menundukkan Kelantan 4-1 untuk mengesahkan tempat di suku akhir Piala FA. Antara penyerang yang menonjol adalah pemain dari Brazil, Rafael Ramazotti.

8) Pattaya United

Pattaya United boleh dikira bukan salah satu kelab terhebat Thailand, namun aksi mereka pada Mac dilihat memukau. Pattaya hanya tewas sekali daripada lima aksi yang dilalui. Salah satu persembahan terbaik mereka adalah ketika menewaskan Bangkok Glass di tempat lawan, selain meraih tiga aksi tanpa dibolosi. Pemain terbaik mereka pada bulan ini adalah Lukian Araujo, penyerang dari Brazil.

7) Hanoi FC

Kelab yang berasal dari ibu kota Vietnam ini membuktikan diri mereka sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai liga melalui prestasi terbaik yang ditampilkan pada Mac. Mereka meraih kemenangan dalam dua perlawanan dan tidak dibolosi. Pemain terbaik mereka pada bulan ini adalah penyerang dari Nigeria, Ganiyu Oseni.

6) Pahang FA

Pahang berjaya mengesahkan status sebagai pesaing terdekat Johor Darul Ta’zim pada bulan Mac selepas mengutip tiga kemenangan berturut-turut. Skuad Tok Gajah juga mengesahkan tempat di suku akhir Piala FA selepas mengatasi Kedah 1-0. Untuk bulan Mac, mereka mengutip tujuh jaringan dan hanya dibolosi sekali, tatkala aksi cemerlang itu dibantu dengan kelibat penyrang dari Gambia, Mohammadoi Sumareh.

5) PT Prachuap

PT Prachuap dikatakan antara pasukan baru di Liga Thailand 2018. Bagaimanapun, mereka mengharungi kempen yang memberangsangkan pada bulan Mac yang lalu. Tiga kemenangan dan satu kalah diraih pada bulan lalu, membolehkan mereka kini menduduki tangga keempat. Pencapaian terbaik mereka tentunya sewaktu mengejutkan gergasi Thailand, Muangthong United, dengan keputusan 6-1, sehingga ketua jurulatih lawan, Totchtawan Sripan terpaksa mengundurkan diri. Pemain tengah, Chitpanya Tisud, muncul pemain paling menonjol pada bulan lalu.

4) Persija Jakarta

Persija telah tampil dengan hebat menerusi keputusan yang baik pada Mac lalu. Dalam saingan Piala FC, mereka masih belum tewas sejak ditundukkan Johor Darul Ta’zim 3-0 dalam aksi pertama. Bagi aksi Liga 1 2018, mereka berjaya mengekang juara bertahan, Bhayangkara FC, dan menang ke atas Arema FC. Rezaldi Hehanusa dan penyerang, Marko Simic, menjadi nadi utama pada bulan lalu.

3) Than Quang Ninh

Than Quang Ninh kini selesa di tangga teratas Liga Vietnam dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan pada bulan lalu. Penyerang dari Brazil, Eydison, menjadi pemain terbaik mereka bagi bulan Mac.

2) Johor Darul Ta’zim (JDT)

Kehilangan khidmat Ulisses Morais sebagai ketua jurulatih langsung tidak memberikan kesan buat JDT. Mereka mengekalkan rekod tanpa kalah pada bulan lalu apabila mencatat empat kemenangan dan satu seri, iaitu ketika menentang Tampines Rovers di Singapura. Ketika ini, mereka berada di puncak Liga Super Malaysia, layak ke suku akhir Piala FA serta pemain kebangsaan, Safawi Rashid, tampil cemerlang.

1) Buriram United

Buriram dinobatkan sebagai kelab Asia Tenggara Terbaik pada bulan Mac lalu susulan prestasi terbaik di peringkat Liga Thailand dan Liga Juara-Juara Asia. Pada bulan lalu, mereka memenangi empat daripada lima aksi dilalui. Detik terbaik bagi aksi gemilang di Liga Juara-Juara adalah ketika mengatasi Cerezo Osaka untuk meletakkan mereka di tangga teratas. Pemain terbaik mereka pada bulan lalu adalah Diogo selepas dia menyumbat gol ke-100 di Liga Thailand ketika berdepan Ubon UMT United.