Kajian & Analisis Asia

Barisan kelab Asia Tenggara dengan pencapaian terbaik di peringkat benua

Dalam Asia, kelab bola sepak dari Asia Tenggara boleh dikatakan tidak terlalu unggul apabila beraksi di peringkat antara pasukan dari benua itu. Kelab-kelab yang berasal dari Asia Timur (Jepun, Korea Selatan, China) dan Asia Barat (Arab Saudi, Iran, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait) sehingga kini mendominasi Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.

Bagaimanapun, ia tidak bererti pasukan dari Asia Tenggara tidak pernah meninggalkan kesan dalam saingan peringkat Asia. Ada beberapa pasukan yang beraksi hebat di pentas itu, bahkan ada yang muncul juara.

Berikut adalah senarai pasukan Asia Tenggara dengan pencapaian terbaik di pertandingan peringkat Asia:

Johor Darul Ta’zim (Malaysia)

Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang pernah menjuarai saingan di peringkat antara kelab Asia. JDT melakukan kejutan ketika saingan Piala AFC 2015 apabila menjuarai kejohanan itu. Di bawah kendalian Mario Gomez yang kini menguruskan Persib Bandung, JDT berjaya menundukkan wakil Tajikistan, Istiklol, di peringkat akhir.

Buriram United (Thailand)

Walaupun JDT pernah bergelar juara, namun status pasukan Asia Tenggara paling berjaya dipegang oleh Buriram. Salah sebuah pasukan terbaik dari Thailand ini pernah melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia pada tahun 2013 sebelum tewas di tangan wakil Iran, Esteghlal. Penampilan Buriram di Liga Juara-Juara pada musim ini pastinya dinantikan kerana ketika ini mereka menduduki peringkat kumpulan pusingan kedua bersama gergasi China, Guangzhou Evergrande, wakil Jepun, Cerezo Osaka, dan wakil Korea Selatan, Jeju United.

Sriwijaya FC (Indonesia)

Sriwijaya sempat merasai nikmat pada awal 2010. Mereka melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Piala AFC selama dua tahun berturut-turut sebelum disekat oleh dua wakil Thailand, Thai Port dan Chonburi FC. Mereka juga pernah beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia pada 2009, namun menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan.

Chonburi FC (Thailand)

Pencapaian Chonburi sudah pasti tidak sehebat Buriram tetapi wakil Thailand ini mempunyai kekuatan yang ditampilkan ketika Piala AFC. Chonburi melayakkan diri ke separuh akhir pada 2012. Bagaimanapun, mereka hanya meraih penampilan di Liga Juara-Juara Asia sekali, ketika tahun 2008. Bagaimanapun, mereka sekadar menempatkan diri di tempat keempat selepas terlepas peluang menundukkan wakil Australia, Melbourne Victory.

Becamex Binh Duong (Vietnam)

Becamex Binh Duong boleh dikatakan sebgai wakil Vietnam yang paling berjaya di pentas Asia. Juara empat kali V. League 1 itu melakukan tiga penampilan di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia. Bagaimanapun, mereka belum pernah melepasi peringkat itu dan hanya meraih dua kemenangan daripada 18 perlawanan yang mereka lalui.

Muangthong United (Thailand)

Pesaing utama Buriram di Thailand ini juga beraksi di peringkat tertinggi Asia. Pada tahun lalu, mereka melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia. Rekod terbaik mereka di saingan antara kelab Asia hanya setakat itu dan tidak berjaya menyaingi Buriram. Bagaimanapun, laluan mereka di Piala AFC jauh lebih baik berbanding pesaingnya. Pada tahun 2010, mereka layak ke kelompok empat terakhir, namun disekat oleh wakil Syria, Al-Ittihad.

Persipura Jayapura (Indonesia)

Persipura adalah wakil Indonesia yang paling berjaya di peringkat Asia. Laluan mereka di Liga Juara-Juara sememangnya tidak sehebat gergasi lain apabila sekadar melalui nasib sama seperti Sriwijaya, di peringkat kumpulan. Bagaimanapun, bagi saingan Piala AFC, mereka hampir menjuarai edisi 2014 tetapi dinafikan oleh wakil Kuwait, Al-Qadsia.