Malaysia Berita

Skuad muda Malaysia bakal guna formula Atletico Madrid

Bayangkan penyerang Malaysia bermain persis Antoine Griezmann dan Diego Costa. Bahagian tengah bak Koke dan Saul Niguez. Pertahanan sekental Diego Godin dan di belakangnya penjaga gol membuat aksi menyelamatkan gawang seperti Jan Oblak.

Mungkin itu yang boleh kita lihat pada skuad bawah 23 tahun Malaysia nanti.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menyatakan bahawa dia akan menurunkan semua ilmu yang dipelajarinya ketika berguru di Atletico Madrid kepada skuad kendaliannya.

“Ilmu dapat diserap tanpa mengira dari mana ia datang. Apa yang penting adalah kita tahu sama ada boleh atau tidak kita menggunakan corak yang sama di Atletico Madrid dengan set pemain yang kita ada buat masa ini,” kata Kim Swee seperti dilaporkan Harian Metro.

Datuk Ong Kim Swee dan penolong jurulatih, Brad Maloney telah menimba ilmu bersama Atletico Madrid selama sebulan sejak Februari lalu.

Berjaya atau tidak ilmu tersebut diterapkan kepada anak buahnya akan kita lihat di Sukan Asia nanti.

Anak-anak buah Ong Kim Swee telah menunjukkan aksi hebat di Piala AFC bawah 23 tahun yang lalu. Semangat juang pemain-pemainnya yang bermain bermati-matian persis aksi anak buah Diego Simeone. Jadi kali ini, mari kita lihat taktikal Diego Simeone pula diterapkan oleh Malaysia.

Menarik untuk kita lihat skuad muda bermain ala Atletico sementara skuad senior pula dengan corak ala tiki-taka yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe. Mungkin kombinasi tiki-taka dan semangat juang tinggi ala Atletico adalah apa yang diperlukan oleh Malaysia untuk bangkit semula di pentas antarabangsa.