Berita Malaysia

Malaysia belasah Bhutan 7-0, Zaquan Adha cetak empat gol di Bukit Jalil

Skuad kebangsaan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan di pentas antarabangsa dengan kemenangan mudah 7-0 ke atas Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha muncul hero Malaysia dengan empat gol, manakala tiga lagi gol dijaringkan oleh Irfan Zakaria, Syafiq Ahmad dan juga Wan Zack Haikal.

Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan pertama yang hampir serupa dengan skuad yang turun menentang Lebanon tempoh hari dan mereka hanya mengambil 10 minit untuk membuka tirai jaringan melalui Wan Zack Haikal.

9 minit kemudian, bintang Felda United itu dijatuhkan di kotak penalti Bhutan, memberi peluang kepada Zaquan Adha untuk mencetak gol pertamanya melalui sepakan penalti yang tepat.

Irfan Zakaria muncul dengan gol ketiga Malaysia pada minit ke-28, melalui tandukan yang menewaskan penjaga gol Bhutan dengan mudah, sebelum Zaquan Adha menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit untuk memberi Malaysia kelebihan 5-0 pada hujung babak pertama.

Pada babak kedua, Zaquan Adha berjaya mencetak gol keempatnya pada minit ke-54, sebelum penyerang muda Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad sempat menjaringkan gol ketujuh Malaysia, 20 minit kemudian untuk sekaligus membantu skuad Harimau Malaya melakar kemenangan pertama di pentas antarabangsa sejak Disember 2016.

Kemenangan ini juga mengakhiri kem latihan pusat di bawah kendalian Tan Cheng Hoe buat kali pertama sejak beliau mengambil alih daripada Nelo Vingada.

Selepas seri 2-2 menentang Mongolia, Malaysia tampil dengan aksi yang bertenaga di Beirut walaupun tewas 1-2. Malam ini, mereka berjaya mencipta kemenangan yang sudah lama ditagih oleh barisan penyokong Malaysia.