Malaysia

Apa langkah seterusnya bagi Malaysia selepas kemenangan ke atas Bhutan?

Selepas sekian lama tidak merasa kemenangan, akhirnya skuad kebangsaan menang bergaya menewaskan Bhutan 7-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, tempoh hari.

Sekarang kita perlu tanyakan soalan, apa selepas Bhutan?

Melihat kepada prestasi skuad negara dalam tempoh setahun yang lalu, ianya bagaikan jenaka. Ranking jatuh, tiada kemenangan dan selepas seminggu kita seri menentang Mongolia, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), meletakkan jawatan.

Selepas menang menentang Bhutan, kita mendapat pemangku jawatan presiden sementara menunggu pencalonan dan undian mencari presiden baru. Pemain pula kembali ke pasukan masing-masing untuk bersaing dalam saingan liga dan piala.

Tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pimpinan FAM selepas ini perlu memberitahu dengan jelas apa sasarannya dan bagaimana ianya mahu dilakukan.

Kemenangan menentang Bhutan tidak boleh menjadi semata-mata satu kemenangan dalam satu perlawanan. Ianya perlu menjadi satu detik kebangkitan buat skuad negara. Kita mempunyai dua misi penting dalam tempoh setahun ini, iaitu Sukan Asia di Jakarta serta Piala AFF Suzuki.

Skuad negara perlu menunjukkan prestasi hebat dalam dua kejohanan ini selain mempersiap untuk kelayakan Piala Asia, Piala Dunia dan Sukan Olimpik di masa hadapan.

Malaysia sudah lama menjadi sekadar pelengkap jadual dalam semua perlawanan kelayakan ini. Bahkan, kita hanya boleh melihat bagaimana Filipina yang dahulu pasukan belasahan di Asia Tenggara layak ke Piala Asia secara merit.

Dengan adanya MFL yang diterajui oleh Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ, diharap liga kita akan bertambah bermutu. Liga yang bermutu dan kompetitif akan memberikan pilihan pemain yang lebih banyak untuk skuad kebangsaan. Diharap, kelab-kelab dalam saingan Liga Super atau Liga Premier akan memberikan lebih peluang kepada pemain-pemain muda.

Bagaimana pula dengan perlawanan persahabatan antarabangsa? Adakah kita akan terus mencari pasukan seperti Bhutan? Atau kita akan mensasarkan pasukan lebih hebat? Mungkin buat sementara waktu ini, kita boleh mencari pasukan yang lebih lemah untuk memperbaiki ranking kita, sama seperti apa yang dilakukan Filipina dahulu. Tetapi, sekali sekala kita perlu menguji kemampuan pasukan kita dengan menentang pasukan-pasukan hebat.

Apa penyokong mahu? Kami mahu skuad Malaysia menang. Kami tidak mahu drama dalam skuad bolasepak kesayangan kami. Kami mahu aksi bertenaga daripada Harimau Malaya. Paling penting, tidak kira Harimau atau Biri-Biri, kami tetap sokong Malaysia.