Luar Negara Eropah

Barisan penyerang aktif telah berjaya mencetak 100 gol di pentas Liga Perdana Inggeris

Menyumbat 100 gol di pentas sengit seperti Liga Perdana Inggeris tentunya bukan sesuatu yang mudah. Tahap liga itu membuatkan setiap pemain berusaha lebih keras untuk meraih pencapaian itu. Semestinya pemain yang benar-benar hebat di depan gol mampu menunjukkan prestasi konsisten selama beberapa musim untuk menembusi angkat tersebut.

Sebelum ini nama-nama seperti Alan Shearer, Michael Owen, Thierry Henry dan Frank Lampard adalah antara pemain yang sudah melepasi jumlah 100 gol. Bagaimanapun, ketika ini terdapat enam pemain yang masih beraksi dan telah menyertai senarai penjaring 100 gol itu. Antaranya:

 

Wayne Rooney

Pemain terkini yang memegang jumlah terbanyak ketika ini dengan 208 gol. Dia meraih jumlah 100 jaringan pada 31 Januari 2010 ketika Manchester Unitwd berdepan Arsenal. Dia mengutip gol ke-200 pada 21 Ogos 2017 bersama Everton sewaktu menentang Manchester City. Mungkin satu kebetulan, Rooney sedar bahawa setiap pencapaian harus dilakukan ketika menentang pasukan besar.

Jermain Defoe

Selepas melakukan debut di Liga Perdana Inggeris bersama West Ham United pada 2001, Defoe meraih gol ke-100 pada 23 April 2011. Ketika itu, dia mewakili Tottenham Hotspur menentang West Bromwich Albion. Ketika ini, dia yang berusia 35 tahun dan bersama Bournemouth telah menyumbat 162 gol, menjadi pemain ketujuh terbanyak dalam sejarah.

Sergio Aguero

Gol Aguero yang ke-100 dikutip semasa musim kelimanya bersama Manchester City, iaitu pada 19 April 2016 bertemu Newcastle United. Jika melihat kepada prestasi dan usianya, peluang cerah untuknya mengutip 200 gol agak cerah selepas meraih 143 jaringan setakat ini. Bagaimanapun, jika dilihat kepada keadaannya yang melalui proses penggiliran bersama Gabriel Jesus di bawah kendalian Pep Guardiola, ia mungkin terbatas.

Peter Crouch

Jarak antara gol pertama dan ke-100 milik Crouch sangat jauh, iaitu selama 16 tahun (2 April 2002 hingga 1 Februari 2017). Dia juga muncul sebagai pemain paling tua menyertai kelompok 100 gol, pada usia 36 tahun. Seperti Defoe, dia sering mewakili pasukan pertengahan, sama seperti ketika ini, Stoke City.

Harry Kane

Jaringan ke-100 Kane diraih pada 4 Februari 2018 yang lalu, sewaktu membantu Spurs mengikat Liverpool 2-2. Apa yang menarik, Kane melakukannya pada usia 24 tahun melalui hanya 141 penampilan, kedua terpantas di belakang Shearer yang melakukannya melalui 124 aksi. Masih banyak masa yang dimiliki Kane untuk melepasi angka 200 seperti Rooney dan Shearer.

Romelu Lukaku

Gol pertamanya diraih sewaktu bersama West Bromwich Albion pada musim 2012/13 dan sejak itu, dia mencipta lebih 10 gol dalam setiap musim bersama Everton dan terkini, Manchester United. Dia baru sahaja menikmati gol ke-100 sewaktu bertemu Swansea City pada 31 Mac lalu, menjadikannya pemain termuda mengutip pencapaian itu pada usia 24 tahun 322 hari.

Pemain lain sedang menghampiri 100 gol

Sebenarnya, sukar untuk melihat nama baru yang menyertai senarai ini. Sehingga hari ini, pemain yang hampir untuk sampai ke tahap itu adalah Daniel Sturridge (74 gol), Olivier Giroud (73), Christian Benteke (68 gol), Eden Hazard (68 gol), Theo Walcott (67 gol), dan Alexis Sanchez (62 gol). Kecuali Hazard, nama-nama di atas tampak tidak meneruskan prestasi terbaik pada musim ini. Jika situasi ini berterusan atau mereka membuat keputusan untuk meninggalkan England, waktu untuk melihat pemain baru menyertai senarai itu pasti mengambil masa semakin lama.