Luar Negara Eropah

10 pemain berstatus bintang yang boleh didapatkan secara percuma pada akhir musim ini

Tanpa disedari, tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum kancah bola sepak Eropah berakhir. Bagaimanapun, setiap pemain melalui cerita yang berbeza. Masih ramai pemain yang bakal menuju penghujung kontrak pada akhir musim ini dan belum ditawarkan sebarang perjanjian baru.

Situasi itu menjadi satu peluang buat pasukan-pasukan lain. Mereka dibenarkan untuk memulakan perbincangan dengan barisan pemain itu berdasarkan Peraturan Bosman atau menunggu sehingga akhir musim.

Apa yang menarik, ramai daripada mereka merupakan pemain dalam pasukan utama Eropah. Berikut adalah antara pemain-pemain yang hebat tetapi boleh didapati secara percuma sebaik sahaja tamat musim 2017/18.

Jack Wilshere
Pemain tengah yang kreatif ini tampak semakin menuju jalan keluar dari Emirates. Walaupun menyarung jersi Arsenal sejak remaja, musim depan kelihatan samar buatnya selepas Arsene Wenger menjelaskan dia boleh meninggalkan pasukan. Wilshere tentu menjadi pilihan beberapa kelab di England, namun gaji yang mahal mungkin menjadi penghalang.
Emre Can
Can menjadi salah seorang yang berkualiti tinggi tetapi boleh didapatkan secara percuma. Seorang pemain yang serba-boleh dan mampu beraksi pada banyak posisi membuatkannya menjadi rebutan. Juventus dilaporkan muncul sebagai pasukan paling berminat untuk mendapatkannya, namun Liverpool masih berpeluang untuk cuba mengekalkan khidmat pemain Jerman ini.
Stefan De Vrij
Bila lagi anda boleh mendapatkan seorang pertahanan yang hebat dalam kawalan bola secara percuma? De Vrij sudah memaklumkan kepada Lazio bahawa dia tidak akan bersama mereka pada musim depan. Situasi itu pantas menarik perhatian pasukan seperti Manchester United dan Inter Milan.
Mario Balotelli
Balotelli kelihatan kembali ke tahap terbaik apabila menyertai OGC Nice di Perancis. Namun, dia tetap menyimpan hasrat untuk beraksi bersama pasukan besar. Kontraknya bakal tamat pada hujung musim ini dan tiada tanda-tanda dia akan kekal bersama Nice bagi musim depan. Apabila diuruskan dengan baik, Balotelli mampu menjadi pemain percuma yang memberikan sumbangan luar biasa.
Max Meyer
Pemain muda Schalke 04 ini sudah beberapa kali menolak tawaran kontrak baru yang diberikan kepadanya. Jelas sekali wang bukan keinginan Meyer tetapi dia mahu beraksi bersama pasukan besar, membuatkan Liverpool dan Arsenal mula mengintai khidmatnya.
Luke Shaw
Siapa sangka bahawa Shaw akan menjadi pilihan ketiga dalam pasukan Manchester United ketika ini? Selepas menyertai Red Devils menerusi yuran perpindahan berjumlah 30 juta paun, masa depan Shaw tampak suram. Situasi kontraknya boleh melepaskannya daripada beban Jose Mourinho.
Oguzhan Ozyakup
Bekas pemain akademi Arsenal ini mengharungi musim yang hebat bersama Besiktas sehingga dipanggil menganggotai skuad kebangsaan Turki. Dia menunjukkan tanda-tanda mahu berhijrah ke Liga Perdana Inggeris. Kontrak yang menuju penamat membuatkan Everton dan Newcastle United cuba untuk mengejarnya.
Lukas Hradecky
Hradecky menjadi satu-satunya penjaga gol dalam senarai ini. Prestasi yang memukau telah menjadi faktor utama Eintracht Frankfurt berada di tangga keempat Bundesliga ketika ini. Penjaga gol Finland ini baru berusia 29 tahun dan telah menarik perhatian banyak pasukan, termasuk Borussia Dortmund.
Amin Younes
Pemain yang berasal dari Jerman ini hampir menyertai Napoli ketika jendela perpindahan pada Januari lalu, namun terhalang kerana beberapa perkara. Kini, dia menjadi salah seorang pemain percuma yang direbut banyak pasukan walaupun prestasinya bersama Ajax agak menurun kebelakangan ini.
Kwadwo Asamoah
Pemain dari Ghana ini akan dilepaskan oleh Juventus bagi memudahkan urusan membawa masuk Can. Bagaimanapun, itu tidak bererti prestasinya telah merudum. Bahkan, terdapat pasukan yang menunggu masa untuk menyambar khidmatnya, termasuk Inter Milan. Kebolehan dalam banyak posisi membuatkan Asamoah menjadi rebutan.