Malaysia Berita

Enam tahun penuh gemilang, JDT rasmi pejabat baharu

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke era baharu selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja merasmikan Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baharu.

Selepas enam tahun penuh gemilang – Piala AFC 2015, Piala FA 2016, Piala Malaysia 2017, enam kejuaraan Liga Super dan empat Piala Sumbangsih – JDT bakal mendapat satu lagi mercu tanda baharu.

Terletak bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, pembukaan pejabat baharu ini menandakan bahawa satu lagi langkah positif Tunku Ismail dalam memastikan fasiliti JDT setaraf dengan kelab-kelab terbaik dunia.

DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL, PEMANGKU RAJA RASMIKAN IBU PEJABAT JDTDYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim,…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, 3 September 2019

Ibu pejabat empat tingkat itu akan menempatkan pejabat pengurusan tertinggi JDT, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Southern Tigers Sdn Bhd.

“Aras bawah menempatkan lobi utama untuk pelawat, skrin mega-LED yang bakal menyiarkan detik-detik istimewa JDT dan bilik seminar manakala pelbagai jabatan akan ditempatkan di tingkat satu dan dua.

Pejabat DYAM Tunku Mahkota Ismail terletak di tingkat paling atas. Kesemua pejabat di Ibu Pejabat JDT ini mempunyai pemandangan yang menarik iaitu menghadap Stadium Sultan Ibrahim yang bakal siap tidak lama lagi.” Kata kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Turut hadir ke majlis perasmian tersebut adalah Menteri Besar Johor YAB Dato’ Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato’ Haji Azmi Rohani, Presiden PBNJ, Dato’ Haji Ismail Karim, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.