Kajian & Analisis Berita

Kenali permata-permata Asia Tenggara yang sedang beraksi di Eropah

Berita penghijrahan Egy Maulana Vikri ke kelab Poland, Lechia Gdansk, membuatkan jumlah pemain bola sepak dari Asia Tenggara yang berkelana di Eropah semakin bertambah. Berikut adalah antara pemain yang sedang mengejar impian mereka di sana.

Egy Maulana Vikri (Lechia Gdansk)

Pemain remaja paling terkenal di Indonesia ini akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila memilih Liga Poland sebagai destinasi seterusnya. Dia yang meraih anugerah Jouer Revelation Trophy ketika di Perancis serta tersenarai dalam Guardian’s Next Generation pada tahun lalu memilih untuk berhijrah ke Lechia Gdansk, sekaligus membuatkan pasukan lain yang mahukan khidmatnya seperti Sporting Lisbon dan Saint-Etienne menggigit jari. Dia hanya akan mula beraksi pada Julai depan tetapi kini sudah diberikan nombor jersi rasmi.

Ezra Walian (Almere City FC)

Penyerang skuad Garuda ketika Sukan SEA 2017 yang lalu ini kini sedang memperkuatkan pasukan Almere City dalam liga kedua Belanda. Walaupun prestasinya sedikit merudum pada musim ini, ramai pemerhati menjangkakan pemain berusia 20 tahun ini akan bersinar di masa akan datang. Bagi musim 2016/17, dia mengutip 11 gol hasil daripada 22 perlawanan buat Jong Ajax FC.

Faiz Bolkiah (Leicester City)

Ahli keluarga Sultan Hassanal Bolkiah ini telah menyertai akademi Chelsea dan Arsenal tetapi memilih untuk menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Leicester City. Pada usia 19 tahun, dia telah dipilih selaku ketua pasukan skuad kebangsaan Brunei. Walaupun belum dapat menembusi skuad utama bimbingan Claude Puel, dia telah beraksi buat pasukan belia The Foxes dalam saingan Liga Belia UEFA.

Kawin Thamsatchanan (OH Leuven)

Penjaga gol Thailand ini mula menikmati musim utama di Belgium bersama Oud-Haverlee Leuven (OH Leuven) dalam divisyen dua. Kawi berhijrah ke sana atas tiket perniagaan selepas pengurusan pasukan itu kini di bawah kendalian syarikat dari negara Gajah Putih, King Power. Dia diberikan kontrak selama lima tahun dan mula menempah slot selaku penjaga gol utama.

Nicholas Pambudi (Aris Thessaloniki)

Nama Nicholas Pambudi mungkin masih baru dalam arena bola sepak di Indonesia walaupun dia kini sedang berkelana di Eropah. Pemain berusia 18 tahun ini baru menyatakan persetujuan dengan kontrak yang ditawarkan oleh kelab dari Greece itu. Sebelum ini, dia menimba ilmu bersama dua pasukan akademi dari Sepanyol, REFA dan Marcet Fundacion.

Syamer Kutty dan Dominic Tan (Vilaverdense FC)

Dua pemain Malaysia ini dipinjamkan ke kelab divisyen empat Portugal, Vilaverdense, dari gergasi Malaya, Johor Darul Ta’zim (JDT). Syamer dan Dominic dihantar ke sana kerana dianggap belum mencapai tahap terbaik untuk beraksi bersama JDT, jadi diberikan peluang untuk mempertajamkan kemampuan. Bagi musim 2017/18, kedua-duanya telah tampil secara kerap.

Neil Etheridge (Cardiff City) serta beberapa pemain Filipina lain

Penjaga gawang utama Filipina ini mungkin muncul sebagai pemain dari Asia Tenggara yang paling berjaya ketika ini kerana dia kini menjadi pilihan utama Cardiff City yang berkemungkinan besar akan dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, musim depan. Selain Etheridge, beberapa pemain naturalisasi Filipina lain turut berada di Eropah, seperti Stefan Schrock (Gruther Fuerth), Harry Foll (Hansa Rostock), Stephen Palla (Wolfsberger) serta Daisuke Sato (Sepsi OSK Sfantu Gheorghe).