Luar Negara Eropah

FIFA beri amaran akan gantung Greece daripada bolasepak antarabangsa

Kekacauan yang berlaku di liga bolasepak Greece telah menjadi topik hangat di kalangan peminat bolasepak buat masa ini. Insiden yang berlaku ketika perlawanan di antara PAOK dan AEK Athens telah menyebabkan liga Greece dihentikan sementara.

Dalam insiden berkenaan, pemilik PAOK Thessaloniki telah turun ke padang untuk membantah jaringan AEK Athens sambil membawa sepucuk pistol.

Ekoran kejadian itu, Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dikhabarkan akan menghantar delegasi ke Greece untuk membincangkan masalah itu.

Pengarah FIFA Eropah, Bjorn Vassalo telah menghantar surat kepada kerajaan Greece menyatakan delegasi akan dihantar ke Greece dan bertemu dengan Persekutuan Bolasepak Greece.

“FIFA mengarahkan supaya satu langkah tegas diambil untuk membuang semua jenis keganasan dalam bolasepak,” tulis Vassalo dalam surat tersebut.

Pendakwaraya awam telah mengarahkan satu siasatan ke atas insiden berkenaan. Siasatan oleh pendakwa di Thessaloniki juga akan menyiasat kenapa pihak polis telah mengabaikan arahan daripada pendakwa untuk menahan pemilik PAOK, Ivan Savvidis serta merta.

FIFA telah memberi amaran kepada kementerian sukan mereka bahawa kegagalan untuk membuat tindakan serta merta akan menyebabkan negara tersebut digantung daripada bolasepak antarabangsa,

Tindakan Savvidis itu juga telah menyebabkan PAOK digantung daripada Persatuan Kelab Eropah yang dianggotai 230 kelab berpengaruh di Eropah. Penggantungan tersebut sehingga 27 Mac di mana kesemua ahli akan bermesyuarat di Rom untuk menentukan masa depan PAOK bersama persatuan itu.