Malaysia Berita

Irfan Zakaria dan Syazwan Andik beri sinar kepada Kuala Lumpur

Berita dua pemain Kuala Lumpur tersenarai antara pemain yang menerima panggilan skuad kebangsaan memang satu berita yang menggembirakan terutamanya buat penyokong Kuala Lumpur.

Walaupun Irfan Zakaria dan Syazwan Andik mungkin tidak tersenarai dalam skuad utama, ianya tetap satu perkara yang membanggakan dan diharap akan menaikkan semangat dua pemain muda itu selepas menunjukkan aksi hebat menentang Kedah.

Irfan dan Syazwan kedua-duanya baru berada dalam kesebelasan utama Kuala Lumpur pada musim ini sebanyak dua kali. Pertama kali kedua-duanya tersenarai adalah dalam perlawanan menentang Kuching FA di saingan Piala FA. Agak mengejutkan apabila ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao terus meletakkan kepercayaan kepada dua pemain muda ini dalam perlawanan menentang Kedah.

Suatu masa dahulu, pemain Kuala Lumpur pasti akan berada dalam senarai panggilan ke skuad kebangsaan. Tetapi, sejak era kejatuhan City Boys, paling hampir pun hanyalah panggilan ke skuad bawah 23 tahun dan bukan skuad senior. Kali terakhir pemain Kuala Lumpur dipanggil ke skuad kebangsaan adalah pada enam tahun yang lalu. Ketika itu, penyerang City Boys, Afiq Azmi tersenarai ke kem latihan skuad kebangsaan.

Kini selepas enam tahun, akhirnya bukan seorang, tetapi dua orang pemain City Boys tersenarai. Walaupun kedua-duanya dipanggil selepas menunjukkan aksi mantap bersama skuad bawah 23 tahun, tetapi kredit tetap perlu diberikan kepada Kuala Lumpur terutamanya selepas prestasi baik Irfan Zakaria pada musim lalu.

Nama-nama seperti Natxo Insa, Corbin Ong dan Akhyar Rashid pastinya lebih menarik perhatian peminat bolasepak tempatan yang melihat senarai pemain, tetapi bagi peminat Kuala Lumpur, nama Irfan dan Syazwan perlu diberi perhatian.

Dua perlawanan musim ini, Irfan diletakkan di bahagian tengah dan Syazwan Andik sebagai Wing Back. Agak menarik jika Tan Cheng Hoe boleh mencuba meletakkan Irfan di posisi tengah berbanding pertahanan tengah seperti di skuad bawah 23 tahun. Ketenangan dan bijak mengawal tempo permainan sebenarnya adalah antara kelebihan Irfan. Dia seorang pemain dengan gaya permainan persis Michael Carrick. Bagi Syazwan pula, dia boleh membantu serangan dengan larian pantasnya, tetapi tidak pasti jika Tan Cheng Hoe akan menggunakan formasi 3-5-2 seperti Datuk Ong Kim Swee atau barisan empat pertahanan. Syazwan dilihat lebih selesa dan bagus beraksi dalam formasi 3-5-2 dengan seorang pertahanan tengah membantu mengawal di bahagiannya ketika dia naik ke atas.

Tidak kira mereka akan beraksi atau tidak ketika menentang Mongolia, tetapi diharap Irfan dan Syazwan bukanlah dua pemain terakhir Kuala Lumpur yang akan menerima panggilan ke skuad kebangsaan tahun ini. Sebagai penyokong Kuala Lumpur, kami berharap kami tidak perlu menunggu lagi enam tahun untuk melihat pemain KL dipanggil ke skuad kebangsaan. Pemain-pemain seperti Azmeer Yusof, Zhafri Yahya, Firdaus Faudzi dan Naim Nazmi (apabila dia sembuh) diharap akan menunjukkan prestasi mantap bersama City Boys dan seterusnya tersenarai untuk skuad kebangsaan di masa hadapan. Masih ada masa untuk mereka tersenarai dalam skuad bagi Piala AFF Suzuki. Untuk capai sasaran itu, diharap mereka akan berjuang untuk membantu Kuala Lumpur musim ini.