Malaysia Asia

UAE singkirkan ‘punca’ pergaduhan menentang Malaysia daripada skuad Sukan Asia

Ekoran kejadian pergaduhan yang berlaku selepas perlawanan bertemu Malaysia semalam, Persatuan Bolasepak UAE (EFA) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemain mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web mereka UAEFA.ae, EFA mengumumkan” “Pihak EFA ingin memohon maaf terhadap apa yang berlaku dalam perlawanan tersebut, di mana punca utama berlaku adalah disebabkan pemain skuad bawah 23 tahun kami, Mohamad Khalfran Al Harazi yang tidak mengikut moral dan semangat kesukanan yang sering kami terapkan dalam perlawanan rasmi atau persahabatan di setiap kejohanan.

“Menerusi laporan awal yang dihantar oleh pihak pentadbir, EFA telah membuat keputusan untuk menyingkirkan Mohammed Khalfan daripada skuad Sukan Asia dan hukuman akan dikenakan ke atasnya.”

Dalam perlawanan malam tadi yang dimenangi skuad negara 2-0 menerusi jaringan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, Khalfan dilihat mencetuskan pergaduhan di penghujung perlawanan yang berlarutan sehingga wisel penamat ditiup. Ekoran insiden itu, satu pergaduhan besar pula berlaku yang melibatkan ramai pemain dan pegawai perlawanan.

FAM telah menghantar laporan kepada AFC mengenai insiden yang berlaku.