Malaysia Liga Super Malaysia

Analisis: Kedah akhirnya meletup, Liridon pemain tengah terbaik di Liga-M?

Tujuh gol.

Itu yang disajikan oleh barisan pemain PKNS dan Kedah kepada para penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam, malam semalam. Skuad Ramon Marcote akhirnya berjaya menunjukkan kebolehan sebenar dengan kemenangan 4-3 ke atas anak buah Datuk K. Rajagobal, yang turut berjuang dengan cemerlang.

PKNS membuka tirai jaringan melalui Faris Ramli, sebelum tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti. Mahali Jasuli kemudiannya meletakkan PKNS 2-1 di hadapan, tetapi Kedah tetap berjaya bangkit semula melalui jaringan kedua Liridon.

Skuad Marcote akhirnya mendahului PKNS 3-2 selepas jaringan Baddrol Bakthiar, sebelum mereka turut berjaya menambah gol keempat melalui percubaan cantik Ariff Farhan. Walau bagaimanapun, Mahali Jasuli sempat menjaringkan gol sepakan percuma untuk menghadiahkan ‘consolation goal’ buat pasukan PKNS pada minit terakhir perlawanan.

Berikut adalah analisis kami berdasarkan perlawanan yang cukup dramatik di Stadium Shah Alam, malam semalam:

KEDAH AKHIRNYA MELETUP

Setelah gagal menunjukkan kebolehan sebenar dalam tiga perlawanan pertama, pasukan Kedah akhirnya meletup dengan aksi yang cukup cemerlang di Stadium Shah Alam, malam semalam. Sebelum perlawanan, ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote berkata dia mahu melihat pemainnya bermain dengan penuh keyakinan di atas padang. Itu yang akhirnya ditunjukkan oleh skuad Helang Merah, dengan corak permainan fluid yang membantu mereka meraih tiga mata penting.

KOMBINASI ANDIK-BADDROL-AKHYAR

Kombinasi di antara ketiga-tiga pemain ini memainkan peranan yang besar kerana mereka sering bertukar posisi sepanjang 90 minit. Pada mulanya, Akhyar bermain di sayap kiri, Baddrol di sayap kanan, manakala Andik di posisi 'playmaker'. Namun pelan tersebut sering berubah dan apabila Kedah dihadikan sepakan penalti pada babak pertama, Akhyar dijatuhkan di bahagian sayap kanan. Apabila Sandro masuk untuk menggantikan Akhyar, mereka terus bertukar posisi dan sering berjaya mengelirukan pertahanan PKNS.

MAHALI PEMAIN TERBAIK PKNS

Walaupun tewas, Mahali Jasuli bermain dengan cemerlang malam semalam, dan jelas menjadi pemain terbaik PKNS di atas padang. Dia bukan sahaja berjaya menjaringkan dua gol, malah setiap larian yang dibuat oleh bekas pemain JDT itu mendatangkan bahaya kepada barisan pertahanan Kedah. Musim lepas, kita jarang dapat menyaksikan kelibat Mahali tetapi pemain yang berusia 28 tahun itu nampaknya bersedia untuk bangkit semula bersama skuad PKNS musim ini.

RAJAGOBAL PILIHAN TEPAT UNTUK PKNS

Status PKNS sebagai sebuah pasukan kelab sering mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap mereka, namun musim ini, mereka mungkin mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan gergasi Liga Super lain. Skuad mereka dipenuhi dengan pemain-pemain yang berkualiti, berpengalaman luas dan juga yang pernah bermain di bawah Datuk K. Rajagobal - seperti Mahali Jasuli, Safee Sali, K. Reuben dan juga K. Gurusamy. Rafael Ramazotti, walaupun gagal menjaringkan sepakan penalti semalam, juga nampak berbisa di bahagian serangan. Dan cara Rajagobal menggunakan Faris Ramli dengan cukup efektif juga perlu diberi pujian.

LIRIDON PEMAIN TENGAH TERBAIK DI LIGA-M?

Musim ini, kita masih belum melihat persembahan cemerlang dari mana-mana pemain tengah utama di Liga Malaysia, sehingga malam semalam. Liridon Krasniqi, yang kembali beraksi dalam kesebelasan pertama Kedah berjaya mendominasi pertempuran yang berlaku di bahagian tengah. Ini bukan sahaja memberi peluang kepadanya untuk menjaringkan dua gol, malah ia turut membantu pasukan Kedah mencipta dua comeback, sepanjang 90 minit semalam. Secara keseluruhan, Liridon Krasniqi mungkin sedikit agresif dan kadang-kala mampu melakukan 'schoolboy error'. Tetapi dia masih antara pemain tengah terbaik di Liga Malaysia, jika bukan yang terbaik.