Berita Asia

Sarawak sasar tewaskan Persebaya dalam aksi persahabatan ‘Blessing Game’

Bukan untuk melancong.

Itulah yang dirancang oleh Sarawak menjelang pertemuan mereka menentang kelab Indonesia, Persebaya Surabaya dalam aksi persahabatan ‘Blessing Game’ di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya hari ini.

Skuad Bujang Senang membawa 18 orang pemain untuk perlawanan tersebut dan ketua jurulatih Sarawak, Andrew Gillan mahu anak buahnya menang walaupun sekadar perlawanan persahabatan.

“Perlawanan menentang pasukan hebat seperti Persebaya adalah satu kesempatan bagus buat kami. Persebaya adalah salah satu pasukan besar di Indonesia dan mempunyai penyokong yang cukup fanatik. Kami akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu nanti,” kata Andrew seperti dilaporkan laman web rasmi Persebaya.

“Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk beraksi dengan keupayaan maksimum. Kami membawa 18 orang pemain termasuk empat pemain import.

“Mereka akan beraksi bersama pemain tempatan kami. Kami pasti memberikan saingan sengit kepada pasukan tuan rumah.”

‘Blessing Game’ ini diadakan sebagai persiapan buat Persebaya Surabaya untuk menghadapi Liga 1 Indonesia dan Piala Indonesia. Selain daripada perlawanan menentang Sarawak, tokoh-tokoh dari semua agama juga dijemput untuk memberi restu kepada pasukan berkenaan.

Sebelum ini, Persebaya telah menjemput Selangor untuk perlawanan persahabatan ini, tetapi disebabkan komitmen Red Giants dengan Liga Super dan Piala FA, Sarawak telah menjadi pengganti mereka.