Kajian & Analisis Malaysia

Analisis: Solehin Mamat muncul wira City Boys, tindakan kurang bijak cemari kualiti perlawanan

Kuala Lumpur menunjukkan disipilin tinggi untuk mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti. Melaka menjaringkan gol awal menerusi Yahor Zubovich pada minit ke-4 sebelum Guilherme De Paula menyamakan kedudukan pada minit ke 31.

Kuala Lumpur terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sehingga ke masa tambahan selepas pemain pertahanan, Boburjon Akbarov dilayangkan kad kuning kedua di separuh masa kedua. Solehin Mamat menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Khair Jones, Puvaneswaran dan Tiago Gomes.

Kuala Lumpur lambat bangun

Dua perlawanan berturut. Dua kali bolos awal. Fabio Magrao perlu memperbaiki barisan pertahannya terutamanya di awal permainan. Meletakkan tiga pertahanan tengah, Boburjon Akbarov, Hisyamudin Shaari dan Achmad Jufriyanto serta dua wing back iaitu Firdaus Faudzi dan Syazwan Andik sepatutnya memberikan perlindungan lebih kepada pasukan. Tetapi, apa yang mengejutkan, barisan pertahanan Kuala Lumpur menjadi kental apabila terpaksa bermain 10 orang. Kuala Lumpur berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dengan taktikal Park The Bus ala Jose Mourinho. Namun begitu, membiarkan pasukan lawan menjaringkan gol awal akan memakan diri jika tidak diperbaiki. Tidak mungkin Kuala Lumpur mampu membuat come back dalam setiap perlawanan.

City Boys perlu jaga Paulo Josue

Selepas lima perlawanan Liga Super dan dua perlawanan Piala FA, Paulo Josue sudah menjadi pemain terbaik Kuala Lumpur. Telah menjaringkan tiga gol setakat ini dan menjadi enjin kepada bahagian tengah Kuala Lumpur ketika membantu serangan dan bertahan, Kuala Lumpur perlu melindungi pemain kelahiran Brazil ini. Sering kali Josue menjadi sasaran terjahan kasar pasukan lawan yang mahu mengganggu emosinya. Mungkin Kuala Lumpur perlukan pemain ala Hargreaves atau Roy Keane yang akan membantu melindungi Paulo Josue dan yang paling penting, Kuala Lumpur perlu menawarkan kontrak panjang kepada pemain ini.

Melaka United bazir kelebihan

Menentang pasukan yang terpaksa bermain 10 orang sehingga masa tambahan, Melaka dilihat tidak menggunakan kelebihan tersebut. Banyak hantaran sia-sia dan cubaan dari jarak jauh daripada Melaka yang langsung tidak menggugat barisan pertahanan dan Solehin Mamat di gawang Kuala Lumpur. Pemain sayap Melaka, Surendran, Gopinathan dan Chanturu banyak mensia-siakan peluang dengan hantaran yang tidak tepat. Apabila Fauzi Roslan masuk, baru nampak barisan serangan Melaka lebih tajam.

Tindakan kurang bijak cemari permainan

Agak melucukan melihat tindakan-tindakan kurang bijak daripada pemain profesional. Ada tindakan mereka itu yang seharusnya mereka sedar akan memberi foul kepada pihak lawan atau layangan kad kuning. Antaranya tindakan De Paula menolak Zubovich di depan kotak penaltinya, layangan tangan Tiago ke muka Syazwan Andik dan sudah tentu terjahan Boburjon ketika Melaka United melakukan serangan balas yang menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua. Tindakan-tindakan seperti ini atau yang dalam bahasa kasarnya ‘stupid foul’ akan menyusahkan pasukan sendiri terutamanya jika pemain tersebut sudah dilayangkan kad kuning.

Kuala Lumpur 'kaya' dengan penjaga gol

Solehin Mamat memberikan satu masalah baik kepada kepada ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao. Nampaknya kini, Kuala Lumpur mempunyai tiga penjaga gol yang berbakat. Kamarul Effandi di sebalik kesilapannya, merupakan penjaga gol yang bagus terutamanya dari segi hantaran bola. Solehin pula telah menunjukkan aksi baik ketika diturunkan dalam saingan Piala FA terutamanya dalam penentuan sepakan penalti. Seorang lagi penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar telah dipanggil untuk bersama skuad bawah 21 tahun kebangsaan. Dengan Solehin yang berusia 21 tahun dan Khatul Anuar, bahagian penjaga gol merupakan bahagian paling tiada masalah buat Kuala Lumpur.