Malaysia Liga Super Malaysia

Evan Dimas Darmono: Inspirasi anak-anak muda Surabaya dan kini Selangor

Pemain bola sepak yang berbakat sentiasa boleh wujud dari mana-mana tempat, sama seperti Evan Dimas Darmono. Dia hadir daripada keluarga sederhana di Surabaya dan kini sedang meniti di bibir setiap peminat. Sebelum bercakap soal prestasinya, lebih baik kita mengenali dulu pemain yang kini berkelana bersama Selangor itu.

Evan lahir hasil perkongsian hidup Condro Darmono dan Ana Darmono dan merupakan anak sulung. Cintanya terhadap bola sepak telah wujud sejak berusia empat tahun tatkala meminta ibunya membelikan bola dan minat itu mula berkembang apabila mahukan sepasang kasut bola. Kasut yang berharga 20 ribu Rupiah pun diberikan untuk membuatkannya gembira.

Evan tekun berlatih ketika berada di kelas 4 Sekolah Dasar (SD). Dia sempat mengikuti latihan bersama SSB Sasana Bhakti (Sakti) sambil ditemani sepupunya yang juga berlatih di situ, Feri Ariawan. Selepas menghabiskan masa selama dua tahun di sana, dia berhasrat berpindah ke SSB Mitra Surabaya, sebuah pasukan belia buat skuad di tanah kelahirannya, Persebaya Surabaya. Dia mengancam untuk tidak lagi bermain bola selepas gagal mendapat keizinan kedua orang tuanya, namun akhirnya tetap dibenarkan juga.

Evan berjaya menyertai skuad Surabaya ke Perkampungan Sukan Provinsi (Porpov) III Jawa Timur (Jatim) 2011 susulan aksinya bersama Mitra Surabaya semakin bagus dan berkembang dengan baik. Di situ, prestasinya terus naik dengan mendadak sehingga layak disenaraikan menyertai pasukan Jatim bertanding di Kejuaraan PON pada tahun 2012 di Riau.

Namanya mula menjadi sebutan ramai ketika dipanggil membarisi skuad kebangsaan Indonesia B-17. Pemain yang bermain di posisi tengah itu bukan sahaja menjadi nadi utama ketika beraksi di Kejohanan Jempunan Belia HKFA di Hong Kong, malah dia dipilih menjadi ketua pasukan skuad Garuda Muda. Gol tunggal yang disumbat menerusi sepakan penalty ke gawang Singapura membolehkannya membantu pasukan meraih kejuaraan tersebut.

Evan terus memperkembangkan aksinya ketika dipanggil bermain untuk pasukan B-19 Indonesia, sebelum mengharumkan nama pasukan ketika saingan Piala AFF B-19 pada tahun 2013. Ketika saingan kumpulan, Evan dan rakan sepasukannya berada di tempat kedua, lima mata di belakang Vietnam.

Mereka kemudian bertemu Timor Leste sebelum kembali melakukan perhitungan dengan Vietnam dan akhirnya dendam mereka terbalas apabila menang menerusi sepakan penalty. Dalam kejohanan itu, Evan mencatatkan lima gol termasuk hatrik ketika bertemu Thailand.

Selain iut, Evan juga pernah menimba ilmu di Sepanyol apabila dipilih sebagai wakil Indonesia untuk Program Pencarian Bakat yang disebut The Chance. Ketika itu, dia berpeluang melalui sesi latihan bersama Pep Guardiola, sekaligus membuatkan rakyat Indonesia berbangga kerana dia bersaing dengan beberapa pemain dari negara lain.

Di peringkat kelab, prestasi terbaiknya datang ketika beraksi untuk Bhayangkara FC dalam saingan Go-Jek Traveloka Liga 1 pada musim lalu. Evan turut memainkan peranan dalam membawa Bhayangkara menjuarai kejohanan tersebut. Hasil daripada 20 perlawanan, dia mencipta satu gol dan lima bantuan jaringan.

Sebaik musim berakhir, Selangor mendedahkan hasrat untuk memancing khidmatnya dan dia berhijrah ke Shah Alam bersama Ilham Udin Armaiyn. Bagaimanapun, perpindahannya itu mendapat kritikan dan tentangan Ketua PSSI, tetapi kerana dia merupakan harapan bangsa, hasrat itu disokong sepenuhnya oleh rakyat Indonesia. Mereka berharap agar beraksi di negara lain dapat meningkatkan kemampuannya.

Sayangnya, perjuangan Evan bersama Red Giants tidak begitu cemerlang. Mereka tewas dalam tiga perlawanan terakhir walaupun menampilkan prestasi hebat di awal musim dan menduduki tangga pertama Liga Super untuk sementara. Dia juga masih belum mencatat sebarang gol dan hanya mencipta satu bantuan jaringan.

Perjalanan Evan di Malaysia masih panjang dan tentunya terlalu awal untuk dinilai. Selain itu, usianya baru memasuki 23 tahun dan Selangor berpeluang melihat Evan berkembang menjadi antara pemain terbaik di Asia Tenggara sekiranya bintang Indonesia itu diberi masa dan ruang yang secukupnya. Moga-moga Evan mampu menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di Surabaya dan juga Selangor