Kajian & Analisis Luar Negara

Tujuh masalah yang dialami oleh Jose Mourinho di Old Trafford

Jose Mourinho adalah salah seorang pengurus terbaik di dunia. Sejak menjulang trofi Liga Juara-Juara pada thaun 2004, The Special One berpindah ke England untuk melatih Chelsea, sekaligus meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris selama dua tahun berturut-turut.

Dia kemudian berhijrah ke Inter Milan. membuktikan kebolehannya, Mourinho berjaya mengemudi gergasi Itali itu meraih tiga gelaran ketika musim 2009/10. Bagaimanapun, destinasi Real Madrid tidak seindah seperti sebelumnya kerana dia sekadar menjulang satu trofi LaLiga di Santiago Bernabeu.

Mourinho kembali semula ke Stamford Bridge bagi musim 2014/15 dan membawa The Blues mendapatkan semula status juara England sebelum dipecat pada pertengahan musim berikutnya. Pemecatan Louis Van Gaal telah membuka laluan buat pengendali dari Portugal itu untuk menguruskan Manchester United dan dia dianggap sebagai pengurus paling berjaya sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Walaupun membawa Red Devils meraih Piala Liga dan Liga Europa pada musim lalu, saingan 2017/18 menyaksikan masalah demi masalah ditanggung Mourinho di Old Trafford. Berikut adalah beberapa bala yang terpaksa dihadapi oleh bekas pengendali Porto itu:

Musim 2016/17 yang kurang memuaskan

Selepas pemecatan Van Gaal, pelantikan Mourinho dilihat sebagai cara terbaik untuk mendapatkan kedudukan empat terbaik tetapi dia hanya mampu meletakkan United di tangga keenam liga. Nasib pengurus itu baik kerana berupaya kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah selepas menjulang trofi Liga Europa.

Pelaburan wang banyak tidak mendatangkan hasil

Musim pertama Mourinho di Old Trafford diselitkan dengan cita-cita yang besar. Dia menggunakan kekayaan yang dimiliki United untuk membawa masuk Eric Bailly dan perancang Borussia Dortmund, Henrikh Mikhtaryan. Paul Pogba turut menjadi pilihannya sehingga memecahkan rekod perpindahan ketika itu. Pada musim berikutnya, dia mendapatkan Nemanja Matic, Victor Lindelof dan Romelu Lukaku melebihi jumlah 100 juta paun, sebelum Alexis Sanchez dibeli dari Arsenal pada Januari lalu. Hasilnya, hanya dua piala yang diraih.

Sekadar berada di bayangan Guardiola

Pep Guardiola hadir ke England serentak dengan ketibaan Mourinho di Old Trafford. Perseteruan ketat antara dua pengendali itu menggamit perhatian meluas semua peminat bola sepak. Walaupun berada di tangga ketiga liga pada musim lalu, kini Manchester City berpeluang untuk menjulang tiga kejuaraan sementara Mourinho hanya menduduki tangga kedua liga dan tersingkir dari Liga Juara-Juara.

Perselisihan dengan Conte

Mourinho terkenal dengan kelantangannya dalam menyuarakan sebarang kritikan pedas serta provokasi terhadap pengurus pasukan lain. Arsene Wenger sering menjadi sasarannya tetapi bagi musim 2017/18, Antonio Conte muncul sebagai pilihannya. Percakaran mulut antara mereka hanya berkisar satu subjek, iaitu Chelsea.

Benteng yang lemah

Tatkala David De Gea dilihat masih mengemudi gawang United, namun harapan meleset apabila melihat pencapaian barisan pertahanan. Chris Smalling dan Phil Jones sering melakukan kesilapan mudah, Marcos Rojo mudah menerima kecederaan sementara kehadiran Lindelof juga belum cukup untuk menampung kerapuhan benteng United. Walaupun mengalami kecederaan panjang, Bailly satu-satunya pertahanan yang boleh diletakkan tanggungjawab di Old Trafford

Corak permainan yang membosankan

Bertahan adalah simbolik kepada nama Jose Mourinho dan itu adalah corak permainan yang sering ditampilkan United ketika ini. Segala pergerakan bahaya dan percaturan yang dinanti-nantikan ketika era Ferguson telah hilang. Membosankan adalah perkataan yang paling tepat untuk Red Devils di bawah bimbingan Mourinho.

Tersingkir dari Liga Juara-Juara

Puncak segala isu di atas adalah penyingkiran United dari saingan Liga Juara-Juara. Tewas kepada Sevilla di laman sendiri membuatkan harapan untuk ke suku akhir lebur. Ternyata nama Wissam Ben Yedder telah menenggelamkan barisan bintang Red Devils.