Luar Negara Eropah

Bekas doktor pasukan Bayern Munich dedahkan masalah keyakinan diri Pep Guardiola

Walaupun gagal meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah, Pep Guardiola telah menjalankan tanggungjawab secara luar biasa bersama Bayern Munich. Kelab Bavaria itu tetap mendominasi bola sepak Jerman dan dihormati di Eropah. Bagaimanapun, pencapaiannya di Allianz Arena gagal mencapai sasaran yang diletakkan terhadapnya.

Tiga musim Guardiola di Bayern telah menimbulkan banyak masalah. Satu per satu isu telah timbul dan salah satunya didedahkan melalui autobiografi doktor pasukan, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfart. Bekas doktor yang dipecat ketika era Guardiola itu disifatkan sebagai individu yang mempunyai daya keyakinan yang rendah.

Dalam autobiografi yang disusu oleh media Bild, Müller-Wohlfahrt berpendapat bahawa pengendali itu sering berada dalam keadaan yang tidak berkeyakinan. Bahkan, bekas pengurus Barcelona itu sentiasa takut akan kehilangan kuasa dan pekerjaannya.

“Saya menganggap Guardiola mempunyai keyakinan yang lemah dan dia akan mencuba untuk menyembunyikan perwatakan itu.

“Guardiola sering ketakutan apabila memikirkan tentang pekerjaannya, terutama ketika mengalami kekalahan,” kata Müller-Wohlfahrt.

Menurut laporan pakar sains sukan dan ortopedik itu mendedahkan perkara itu kerana dia dipecat oleh Guardiola pada tahun 2015. Ketika itu, Guardiola menyifatkan Müller-Wohlfahrt sebagai antara punca utama mengapa Bayern tidak mampu mencapai tahap tertinggi dalam permainan.

Salah seorang individu tertinggi Bayern, Uli Hoeness, mengatakan bahawa isu antara Guardiola dan Müller-Wohlfahrt adalah disebabkan dua cara yang berbeza. Guardiola adalah seorang pengurus yang berbangga dengan identiti Catalan sementara Müller-Wohlfahrt adalah warga Jerman yang tipikal. Situasi itu membuatkan kerjasama yang bagus gagal diraih.

Pendedahan Müller-Wohlfahrt itu mungkin boleh dianggap sesuatu yang sangat subjektif dan berlandaskan emosi kerana kredibilitinya turut menjadi perkara yang dibangkitkan oleh Guardiola. Namun, dalam masa yang sama, ia memberikan pandangan baru terhadap pengurus yang diagung-agungkan ketika ini.