Kolum Luar Negara

Selepas menunjukkan kebangkitan, Vazquez terus mengintai pintu skuad La Roja

Ramai yang meragui Lucas Vazquez, termasuk penyokong Real Madrid sendiri. Pemain berusia 26 tahun itu lebih banyak diturunkan sebagai pemain gantian oleh pengendali, Zinedine Zidane. Bagaimanapun, 2018 menyaksikannya mencipta sebuah catatan yang menyamai Lionel Messi.

Kebangkitan Los Blancos dalam babak kedua LaLiga musim ini juga tidak terlepas daripada aksi cemerlang pemain dari wilayah Galicia itu. Pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui, sudah tentu sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan Vazquez selepas melihat prestasi hebatnya ketika bertemu Paris Saint-Germain (PSG) di Parc Des Princes bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, 6 Mac lalu. Bekas produk belia Madrid itu melakukan umpanan cantik untuk disudahkan Cristiano Ronaldo, sekaligus membunuh sisa-sisa kebangkitan PSG.

Gol itu merupakan bantuan jaringan yang ke-13 daripada Vazquez bagi semua kejohanan musim ini, sekaligus meletakkannya selaku pemain Sepanyol dengan bantuan gol paling banyak untuk 2017/18, sekaligus menyamai kutipan yang diraih oleh Messi. Pemain yang lahir pada 1 Julai 1991 itu juga telah menyumbat tujuh gol keseluruhan, berkongsi dengan Karim Benzema walaupun pemain dari Perancis itu adalah penyerang utama..

Sebagai bakat muda yang membarisi pasukan elit dunia, banyak pihak mempersoalkan tindakan Real Madrid ketika mendapatkan khidmat Vazquez dari Espanyol pada 2015. Bagaimanapun, darah pejuang Galicia pekat mengalir dalam dirinya. Mula membarisi skuad muda Madrid pada 2007 ketika berusia 16 tahun, dia memerlukan tiga tahun untuk meraih peluang dalam skuad utama.

Dia mencetak empat gol dalam 23 perlawanan bagi musim 2011/12, sekaligus membantu pasukan kembali ke Liga Segunda selepas terlepas selama lima tahun. Situasi itu membuatkan Espanyol tertarik untuk mendapatkan khidmatnya. Selepas dipinjamkan selama satu musim, Espanyol menawarkan kontrak tetap buat Vazquez.

Yuran 500 ribu EURO yang diterima dari Espanyol akhirnya membuatkan Madrid menyesal tatkala Vazquez mengharungi kempen terbaiknya di LaLiga. Tiga gold an enam bantuan jaringan membolehkan Espanyol berada di tangga kesepuluh. Bagaimanapun, pemain ini semakin matang dan membuatkan Madrid bertindak mengejar khidmatnya kembali untuk diletakkan sebagai pemain sayap. Selepas kembali ke Santiago Bernabeu, penampilan pertamanya adalah sewaktu Los Blancos menang ke atas Espanyol 6-0 pada September 2015.

Walaupun tidak menjadi pilihan utama Rafa Benitiez dan Zidane, Vazquez tetap memainkan peranan utama. Tampil sebagai pemain gantian ketika final Liga Juara-Juara musim 2015/16 menentang Atletico Madrid, dia berjaya menyempurnakan tugas sepakan penalti.

Jika penampilan pemain berusia 26 tahun itu konsisten, tentunya Lopetegui akan menyediakan slot untuknya ke Russia bagi aksi Piala Dunia nanti walaupun mungkin terpaksa bersaing sengit bersama pemain lain seperti Pablo Saravia, Suso, Vitolo, Pedro Dodriguez, Gerard Deulofeu dan Jose Callejon tetapi Vazquez berhak untuk percaya terhadap kemampuannya.