Liga Super Malaysia

La Liga bakal membantu FMLLP bina blueprint 50 tahun

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bakal bekerjasama dengan La Liga untuk tujuan pembangunan jenama masing-masing selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani di Johor Bahru, dan disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (Pengerusi FMLLP) dan juga Oscar Mayo Pardo (Pengarah Pembangunan Antarabangsa).

Berikut adalah antara perkara-perkara yang akan dilakukan sebahagian daripada kerjasama ini, menurut FMLLP:

“Perjanjian kerjasama ini akan berlangsung selama 3 tahun dengan menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama untuk membangunkan blueprint 50 tahun untuk Liga Malaysia.

“Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat.

“Melalui perjanjian persefahaman ini juga, LaLiga akan memudahcara kepada pemain di LaLiga untuk bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di LaLiga di Malaysia semasa pra musim.

“Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya.”