Malaysia Liga Super Malaysia

TMJ terangkan sebab Selangor tidak boleh gunakan SNBJ sebagai gelanggang tuan rumah

Selangor dijangka perlu menyelesaikan masalah venue rasmi mereka untuk musim 2018 dengan segera selepas Presiden Persatuan Bolaepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan yang tidak bersetuju dengan hasrat skuad Red Giants untuk mengunakan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Musim lepas, Selangor menjadikan Stadium Selayang sebagai venue rasmi, selepas kerajaan negeri Selangor melarang pasukan tersebut daripada menggunakan Stadium Shah Alam. Namun musim ini, skuad Red Giants menyatakan hasrat mereka untuk bermain di Bukit Jalil dan TMJ tidak bersetuju dengan keinginan tersebut.

“Baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa pasukan Selangor ingin menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai ‘home venue’ untuk pertandingan Liga Malaysia.

“Bagaimanapun pihak pengurusan stadium juga telah mengesahkan bahawa empat dari enam perlawanan pertama sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut dan mungkin lebih banyak lagi pindaan jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa membuat permintaan untuk menggunakan stadium nasional tersebut,” kata Tunku Ismail, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.

“Kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan stadium dan FMLLP telah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini, tetapi adalah mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun.

Kredit Foto: FAM

“Jika terdapat perubahan jadual pertandingan berpunca dari isu ini sudah tentu FMLLP akan dipersalahkan dan kita tidak bergerak seiringan ke arah penjadualan yang lebih stabil seperti yang saya arahkan kepada pengurusan FMLLP,” jelas Tunku Ismail.

TMJ, yang juga merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta’azim, tidak gembira bahawa Selangor menggunakan masalah lampu limpah di Stadium Selayang sebagai alasan dan mahu melihat pasukan tersebut melabur untuk memperbaiki masalah tersebut supaya dapat bermain di sana sepanjang 2018.

“Kita mesti bergerak kehadapan jadi Selangor tidak boleh memberi alasan yang Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai hanya disebabkan oleh lampu limpah yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan FMLLP.

“Adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam. Malah pasukan seperti PJ Rangers (AirAsia) sanggup melabur untuk stadium MBPJ demi memastikan gelanggang tersebut lebih sesuai. Apatah lagi bagi sebuah pasukan Liga Super seperti Selangor?,” tambah Tunku Ismail.