Asia AFC U23 Championship

“Kami akan menyerang Arab Saudi” – OKS tak mahu anak buah bermain seperti Vietnam

Ketua jurulatih skuad B-23 Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berpendapat bahawa tiada sebab untuk anak buahnya bermain dengan corak taktikal yang defensif apabila mereka turun berdepan Arab Saudi malam ini.

Setakat ini, OKS mengunakan formasi 3-4-3 dan 3-5-2 yang sedikit sebanyak membantu pasukan Malaysia di bahagian serangan ketika mereka seri 1-1 bersama Jordan. Meskipun tewas 1-4 di tangan Iraq, Malaysia tetap menunjukkan tahap keberanian yang tinggi dalam perlawanan tersebut.

Malam ini, Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk mara ke peringkat suku akhir, sekiranya mereka berjaya menewaskan Arab Saudi. Dan bekas pemain kebangsaan Malaysia itu tidak mahu mengubah gaya permainan skuadnya, walaupun satu lagi pasukan Asia Tenggara, Vietnam, berjaya mengekang Australia dengan corak yang defensif.

“Saya ada menyaksikan perlawanan Vietnam menentang Australia dan sepanjang 90 minit, Vietnam hanya bertahan tanpa bola dan mengharapkan situasi ‘counter attack’,” kata Ong, menurut laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Saya boleh menggunakan corak yang sama seperti Vietnam dan itu mungkin membantu kami meraih satu atau tiga mata. Tapi apa tujuan tiga mata itu? Apa yang boleh pemain saya belajar? Mereka telah menunjukkan peningkatan yang baik setakat ini. Pemain saya yakin dengan kebolehan mereka untuk menyerang.

“Bila kami menyerang, memang ada tinggalkan sedikit ruang di bahagian pertahanan tetapi jika pemain saya boleh menangani masalah tersebut, tak ada sebab untuk saya menghentikan mereka. Bagi saya, mereka harus terus bermain dengan corak yang ditunjukkan dalam babak kedua perlawanan menentang Iraq dan juga sepanjang 90 minit perlawanan menentang Jordan.

“Saya tidak akan menghentikan mereka daripada menyerang. Kami perlukan kemenangan dan kami perlu menjaringkan gol. Jika anda tidak menyerang pihak lawan, anda tidak akan meraih sebarang kemenangan,” tambah OKS.

Malaysia kini berada di tangga ke-4 dengan satu mata daripada dua perlawanan, manakala Arab Saudi pula berada di tangga ke-2 dengan dua mata daripada dua perlawanan.

Pertembungan malam ini akan berlangsung di Stadium Kunshan pada jam 7.30 petang (waktu Malaysia).